Quantcast

BERITA

Safiq Rahim Bakal Sarung Jersi Skuad Helang Merah?

Baru-baru ini terdapat khabar angin di media sosial yang mengatakan bekas kapten Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim bakal berhijrah menyertai skuad Kedah dalam masa terdekat.

Mengulas mengenai isu tersebut, ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak mengakui tidak mengetahui apa-apa tentang rundingan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dengan pemain tersebut kerana fokusnya kini adalah untuk membantu pasukan menghadapi perlawanan Liga Super sabtu ini.

“Saya tidak tahu apa-apa setakat ini. Perkara itu tidak datang daripada pihak saya. Saya hanya mahu menitikberatkan terhadap pemain dan pasukan saya terlebih dahulu.

“Saya tidak dapat memberikan komen kerana tugas saya hanya untuk membimbing pasukan. Namun, ia terpulang kepada pihak pengurusan,” katanya kepada Stadium Astro.

Safiq rahim menjalani latihan dengan skuad Melaka United. FOTO: MUSA

Kedah ketika ini memerlukan perancang tengah yang berwibawa selepas pemain import pasukan itu, Ammar Al-Mubaraki sering mengalami kecederaan dan tidak dapat beraksi dalam beberapa perlawanan.

Kapten pasukan, Badddrol Bakhtiar bagaimanapun sedia menerima kehadiran Safiq sekiranya pihak pengurusan sudah membuat keputusan mereka untuk membawa masuk bekas pemain terbaik Piala AFC 2015 itu.

“Sebagai pemain, saya hanya mengikuti keputusan daripada pihak pengurusan.

“Saya hanya menumpukan kepada sesi latihan dan hari perlawanan,” katanya.

KFA dalam sidang media mereka pada 22 November tahun lepas menafikan mereka berminat untuk mendapatkan khidmat Safiq Rahim selepas ditanya oleh seorang wartawan.

Ketika itu, Naib Presiden KFA, Anas Hafiz Mustafa turut memberitahu, Safiq Rahim ada menunjukkan minatnya menyertai Kedah FA dan menawarkan dirinya untuk menyertai pasukan Lang Merah.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!