Pengendali Selangor, Tan Cheng Hoe pastinya menjadi antara individu yang paling sibuk ketika ini untuk mempersiapkan pasukan beliau sebelum mengharungi aksi seterusnya dalam saingan Liga Super 2023.
Tampil mengambil alih The Red Giants pada pertengahan musim lalu, Cheng Hoe berjaya memastikan pasukan tersebut untuk menjadi antara terbaik tahun ini selepas mereka hampir memastikan kedudukan kedua dalam saingan Liga Super 2023 berbaki dua perlawanan sahaja lagi.
Apapun, kedudukan tersebut berkemungkinan akan dipintas Kedah Darul Aman (Kedah) jika mereka tewas pada perlawanan seterusnya ini berdepan pasukan tersebut di Stadium Darul Aman (SDA).
Kedudukan semasa setakat ini menyaksikan Selangor di tangga kedua selepas mengumpul 55 mata daripada 24 perlawanan dan hanya berkelebihan dua mata sahaja berbanding Kedah pada tempat ketiga.
Perlawanan ini dijangka bakal menjadi tumpuan ramai peminat bola sepak negara kerana ia bakal mengubah kedudukan buat kedua pasukan ini tidak kira apa keputusan selepas aksi tamat.
Jelas Cheng Hoe, beliau menyifatkan aksi seterusnya ini sebagai sesuatu sangat penting untuk mereka pada persaingan musim ini sepanjang mengendalikan Selangor.
Selain ingin menjamin kedudukan kedua Liga Super, Cheng Hoe juga ingin memburu tiket untuk beraksi dalam saingan di pentas Asia musim hadapan.
Disebabkan itu, pengendali berpengalaman tersebut menyeru kepada barisan pemain Selangor supaya memberi lebih fokus untuk aksi seterusnya itu bertemu Sang Kenari.
“Perlawanan ini adalah ‘match of the year’ untuk tahun ini dan kami tak boleh sia-siakan.
“Bagi saya ini perlawanan paling utama kita untuk tahun ini dan kita memang perlukan kemenangan untuk memastikan kedudukan naib juara.
“Lebih daripada itu, kita mahu pasukan layak bermain mewakili negara di perlawanan peringkat AFC yang sememangnya menjadi buruan pasukan sebelum ini.
“Tetapi apa yang penting, pemain kena fokus dan jangan terlalu tertekan. Bermain seperti biasa dan mengikut apa yang sudah dirancang,” katanya menerusi satu laporan khas dikeluarkan oleh Harian Metro.
Pada masa sama, pengendali tersebut mengakui barisan pemain beliau berada dalam keadaan terbaik dan mampu dibawa turun untuk bertemu Sang Kenari di gelanggang pelawat.
“Semua pemain dalam keadaan terbaik dan tiada pemain yang cedera. Pemain juga dilihat bersemangat dan kita berada dalam keadaan terbaik,” katanya akhir sekali.