Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mahu anak-anak buahnya mengekalkan corak permainan yang cemerlang, seperti yang dipamerkan ketika berhadapan dengan Timor Leste – ketika Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Dalam perlawanan tersebut Malaysia menang besar ke atas Timor Leste, dengan agregate 12-2.
Tan Cheng Hoe menjadikan aksi pemanas badan menentang Jordan sebagai perlawanan penting untuk membentuk pasukan yang lebih mantap.
Tan Cheng Hoe mengakui Jordan sebagai pasukan yang lebih baik daripada pasukan negara.
“Ianya satu ujian yang baik untuk pasukan kita berhadapan Jordan, ini kerana kita tahu mereka pasukan yang jauh lebih baik daripada kita,” ujar Tan Cheng Hoe.
Beliau berharap pasukan Malaysia akan mendapat sesuatu yang berguna dalam aksi Jumaat itu nanti.
“Kalau boleh, kita kekalkan momentum dan corak permainan yang kita tampilkan sebelum ini. Saya pasti setiap kali pemain datang ke kem latihan ada memberi peningkatan dalam pasukan,” jelas beliau lagi.
Aksi persahabatan menentang Jordan merupakan perlawanan pemanas badan sebelum Malaysia berlepas ke Jakarta untuk aksi menentang Indonesia pada 5 September bagi aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Diikuti aksi menentang UAE di Bukit Jalil, kurang seminggu selepas itu.
Tan Cheng Hoe menyenaraikan 27 pemain untuk latihan pusat. Beliau mengakui beberapa pemain masih keletihan kerana terlibat dalam aksi Piala Malaysia.
Tan Cheng Hoe berkata: “Saya berharap mereka dipanggil ini dapat mewujudkan satu suasana seperti keluarga kerana kita ada misi untuk membuat sesuatu buat negara.”