Ketua Jurulatih pasukan negara, Tan Cheng Hoe menyatakan kekaguman beliau terhadap mentaliti pemain-pemain kendaliannya dalam aksi menentang Indonesia di perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada malam tadi.
Kemenangan 2-0 tersebut bermakna Malaysia kini mengumpul 9 mata hasil dua kemenangan, sekali gus berada di tangga kedua Kumpulan G setelah Vietnam dan Thailand terikat tanpa jaringan di Hanoi, dan UAE tidak beraksi pada perlawanan malam tadi.
30 minit pertama memperlihatkan pasukan Malaysia mengalami kesukaran berhadapan barisan pemain kendalian Yeyen Tumena itu – setelah pasukan pelawat lebih selesa bertahan dan melancarkan serangan balas pantas.
Namun walaupun skuad Garuda tampil dengan barisan pemain berbeza dan mantap, pasukan kebangsaan sebaliknya memperagakan mentaliti hebat untuk memastikan kemenangan.
“Sungguh menakjubkan dan bukan senang nak menentang Indonesia yang menggunakan ramai pemain baharu dalam pasukan.
“Saya lihat mentaliti pemain cukup tinggi apabila kami hilang bola pemain cepat bangkit untuk mengejar dan ia satu sikap dan komitmen yang baik daripada mereka,” katanya Tan Cheng Hoe dalam sidang media semalam.
Dua gol yang memastikan tiga mata berharga menjadi milik Malaysia pada malam tadi adalah hasil jaringan Safawi Rasid di setiap babak perlawanan.
Gol pertama dihasil melalui sepakan percuma pada minit ke-30 disusuli rembatan kencang pada minit ke-73 selepas kesilapan pemain pertahanan pasukan pelawat. Ini bermakna Indonesia masih gagal melakar sebarang kemenangan sepanjang kempen ini.