Semalam telah tular satu gambar yang menyaksikan bekas jurulatih Kedah iaitu Tan Cheng Hoe bergambar bersama-sama dengan para pemain dan staf JDT.
Tetapi apa yang Cheng Hoe lakukan di Larkin?
Ada yang mengatakan yang beliau bakal menjadi sebahagian daripada pasukan JDT.
Namun sebenarnya tidak. Beliau berada di Larkin atas urusan kebangsaan bersama-sama dengan Presiden FAM.
Laman rasmi FAM di Facebook hari ini mendedahkan yang kehadiran Tan Cheng Hoe adalah atas urusan skuad kebangsaan.
Antara perkara yang dibincangkan adalah mengenai struktur skuad kebangsaan yang bakal diselia beliau bersama jurulatih baharu – Nelo Vingada.
Selain itu terdapat juga beberapa perkara lain yang turut dibincangkan seperti mengenai kakitangan kejurulatihan serta perancangan-perancangan perlawanan Malaysia menentang Lubnan.
Hasil daripada perbincangan ini akan dihantar kepada Nelo untuk diperincikan sebagai persediaan untuk skuad kebangsaan.
Tan Cheng Hoe meletakkan jawatannya dari jawatan jurulatih Kedah selepas menerima tawaran sebagai penolong jurulatih skuad kebangsaan dari FAM.
Beliau akan bertugas bersama-sama Nelo Vingada tidak lama lagi.