Skuad negara masih dalam misi untuk layak ke Piala Asia 2023 dan pengendalinya, Tan Cheng Hoe menjangkakan akan ada impak positif daripada pemain-pemain yang sedang berkelana ke liga luar negara seperti Safawi Rasid yang beraksi di Portugal.
Selain Safawi Rasid, beberapa pemain negara yang sedang menimba pengalaman di luar negara adalah Hadi Fayyadh di Jepun, Dominic Tan, Norshahrul Idlan Talaha dan Mohamadou Sumareh di Thailand serta Luqman Hakim yang berada di Belgium.
Ketika diminta untuk mengulas mengenai penghijrahan beberapa pemain tersebut ke liga luar negara, pengendali berusia 52 tahun itu dipetik berkata, “Saya rasa ia satu perkembangan yang positif dan berita yang cukup baik untuk bola sepak Malaysia.”
“Jikalau ramai lagi pemain-pemain kita bermain di kejohanan yang lebih baik dan tarafnya lebih baik, ini akan memberi impak yang terbaik buat skuad kebangsaan,” tambah Cheng Hoe sambil memberikan contoh Safawi Rasid yang berkelana ke Portugal.
“Kita tahu Safawi Rasid berada di Portugal dan saya rasa semua juga tahu yang liga Portugal adalah salah satu liga terbaik di dunia. Saya rasa Safawi perlu bekerja keras untuk mendapatkan tempat,” ujarnya mengenai penyerang berbisa skuad negara itu.
Safawi Rasid telah diperkenalkan secara rasmi sebagai pemain kelab yang bersaing di liga utama Portugal, Portimonense SC dan sudah dilihat menjalani latihan bersama mereka. Kali ini, beliau perlu bersaing bersama pemain-pemain daripada luar negara.
Oleh itu, Cheng Hoe turut menekankan peri pentingnya pemain-pemain yang berada di liga luar negara untuk memburu mendapatkan minit permainan bagi mengekalkan tahap kecergasan mereka. Ia penting untuk menjayakan misi skuad Harimau Malaya.
“Tentunya kita juga tahu yang tiga pemain berada di liga Thailand iaitu Dominic Tan, Matyo [Norshahrul Idlan] dan yang terbaharu, Sumareh. Kita tahu liga Thailand begitu kompetitif dan paling penting pemain-pemain ini mendapat minit permainan.
Dalam perkembangan lain, ketika ditanyakan perancangannya selepas menerima lanjutan kontrak dua tahun daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) baru-baru ini, Cheng Hoe berkata beliau tidak sabar untuk melihat peningkatan pemain muda.
“Kita mahu lihat barisan pemain-pemain muda membantu pasukan kebangsaan dan pada masa yang sama, pemain-pemain sedia ada perlu meningkatkan prestasi mereka. Kita mahu lihat skuad kebangsaan kita dihormati di mana-mana,” ulasnya.
Bercakap mengenai sasaran peribadinya bersama Harimau Malaya ketika ini, “Sasaran dalam tempoh dua tahun [lanjutan kontrak] adalah kita layak ke Piala Asia dan pada masa yang sama kalau ada rezeki, kita boleh layak ke pusingan akhir Piala Dunia.”
KREDIT FEATURED IMAGE: ASTRO AWANI