Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe memberi jaminan pasukannya tidak akan menyenaraikan tonggak skuad Malaysia B-23 bagi menghadapi kejohanan 4 penjuru, Piala AIRMARINE yang akan berlangsung pada 20 dan 23 Mac ini.
Hal ini kerana Datuk Ong Kim Swee lebih memerlukan khidmat mereka bagi menghadapi kempen kelayakan Piala AFC Bawah 23 (B-23) pada bulan depan.
Selepas gagal membawa skuad terbaik dalam Piala AFF B-22 di Kemboja hingga menyebabkan Malaysia tersingkir seawal peringkat kumpulan, Kim Swee berharap dapat menurunkan barisan terkuat apabila Stadium Shah Alam menjadi venue Kumpulan J, kelayakan Piala AFC B-23 dari 22 hingga 26 Mac.
Kejohanan AFC B-23 dianggap penting kerana ia merupakan pentas untuk mencari tiket ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo. Juara kumpulan akan layak ke pusingan akhir di Bangkok pada 8 hingga 26 Januari tahun depan manakala empat pasukan terbaik di Thailand akan meraih tiket ke Olimpik.
Piala AIRMARINE yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil melibatkan pasukan Malaysia, Kepulauan Solomon, Singapura dan Oman.
“Kemungkinan besar tidak akan panggil mereka (pemain Malaysia B-23). Ya (memang ada perbincangan) maka tiada isu berkaitan perebutan pemain.
“Kalau ikutkan kita juga (perlu pemain) untuk naikkan ranking. Ketiadaan mereka mungkin menjejaskan momentum tetapi dari sudut positif, kita boleh uji muka baharu.
“Lebih tiga bulan kita tidak bermain bersama, harap apabila dipanggil semula pemain dapat mengekal momentum seperti pada Piala AFF tahun lalu,” kata Cheng Hoe kepada Utusan Malaysia.
Skuad B-23 Malaysia dijangka akan diperkuatkan oleh bintang muda negara seperti Akhyar Rashid, Syamer Kutty Abba, Safawi Rasid dan Syahmi Safari yang membantu skuad Harimau Malaya muncul sebagai naib juara Piala AFF 2018.
Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi, menganggap Piala Airmarine sebagai medan terbaik untuk Malaysia perbaiki kedudukan ranking FIFA bagi mengelak daripada beraksi dalam saingan play-off kelayakan Piala Dunia nanti.
Syarat untuk tidak beraksi dalam aksi play-off, Malaysia perlu berada dalam kelompok ranking ke-34 terbaik Asia. Ketika ini, Malaysia berada di tangga ke-35 Asia.