Quantcast

KAJIAN & FAKTA

Ivan Zamorano: Legenda No.9 Real Madrid Yang Dianggap Sebagai Interista Sejati

Lupakan Alexis Sanchez. Penyerang Manchester United itu mungkin adalah penjaring terbanyak skuad kebangsaan Chile pada hari ini. Namun nama yang ingin kita putarkan di dalam artikel kali ini ialah Ivan Zam0rano – penjaring ketiga terbanyak di dalam sejarah skuad kebangsaan Chile.

Zamorano memenangi trofi bersama Real Madrid, dan disanjung sebagai legenda di San Siro bersama Inter Milan. Namun semua trofi yang dimenangi dan jumlah jaringan yang terpahat hanya sebahagian dari kisah beliau.

Permulaan karier

Karier profesional Zamorano bermula bersama sebuah kelab di El Salvador, dikenali sebagai Cobresal. Ia adalah sebuah kelab kecil yang tidak pernah memenangi sebarang kejuaraan pada ketika itu. Perkara itu mulai berubah setelah Zamrano membantu Cobresal muncul juara Piala Chile di musim pertama beliau di kelab tersebut pada 1987.

Secara keseluruhan, Zamorano menjaringkan 13 gol dari 14 penampilan di pertandingan tersebut. Kejuaraan tersebut kekal sebaga satu-satunya kejuaraan yang pernah dimenangi oleh Cobresal sehingga kini.

MILAN, ITALY – MAY 03: Ivan Zamorano attends Serie A match between FC Internazionale Milano and AC Chievo Verona at Stadio Giuseppe Meazza on May 3, 2015 in Milan, Italy. (Photo by Claudio Villa – Inter/Getty Images)

Pada tahun yang sama, Zam0rano turut tampil bersama pasukan kebangsaan Chile, tetapi hanya mampu menjaringkan 2 gol di 12 penampilan antarabangsa pertamanya bersama La Roja. Secara keseluruhan, Zamorano tampil sebanyak 69 kali untuk Chile sebelum menghasilkan 34 jaringan untuk negaranya. Hanya Marcelo Salas (37), dan Alexis Sanchez (41) menjaringkan lebih banyak gol dari Zamorano setakat ini.

Berkelana ke Eropah

Ivan Zamorano mulai beraksi di Eropah pada 1988. Namun ianya bukan perkara yang mudah untuk beliau pada mulanya untuk membuktikan dirinya. Mulai menyertai Bologna di Serie A, Zamorano lantas dipinjamkan sebelum dijual kepada kelab Switzerland, St.Gallen pada tahun yang sa,a. Beliau tidak melakukan sebarang penampilan di Serie A bersama Bologna.

Dua tahun di Switzerland, 34 gol dihasilkan, Zamorano kemudiannya berhijrah untuk menyertai Sevilla. Prestasi baik beliau bersama kelab dan negara membuatkan beliau menjadi perhatian Real Madrid, setelah menjaringkan 21 gol dari 59 penampilan. Pada 1992, Zamarano akhirnya dipinang oleh Real Madrid.

Gemilang di Bernabeu

Presiden Real Madrid pada ketika itu, Ramon Mendoza menyifatkan Zamorano sebagai ‘penyerang No.9’ yang mereka cari-cari selama ini.

Zamorano mengecapi detik terbaik dalam karier beliau bersama Real – membantu kelab tersebut menjuarai La Liga buat pertama kali dalam tempoh lima tahun pada musim 1994/95. Beliau turut menjaringkan 28 gol pada musim tersebut untuk muncul penjaring terbanyak di Sepanyol.

MARTAGON, SEVILLE, TACKLES IVAN ZAMORANO, REAL MADRID, IN PENALTY AREA (Photo by Tony Marshall/EMPICS via Getty Images)

Sebelum ke Bernabeu, gandingan Zamorano bersama Davor Suker di Sevilla dianggap sebagai pasangan penyerang yang menjadi. Bergandingan bersama Michael Laudrup di Real, membuatkan Zamorano menjadi penyerang yang dianggap sebagai salah seorang penyerang terbaik dunia ketika itu. Secara keseluruhan, Ivan Zamorano menjaringkan 101 gol dari 173 penampulan untuk Los Blancos- sebelum menyertai Inter Milan pada 1996.

Antara perlawanan paling dikenang bersama Real Madrid, semestinya jaringan hatrik ketika membelasah Barcelona 5-0 di La Liga.

Ivan El Terrible

Untuk anda benar-benar memahami kehebatan Zamorano, anda harus menonton aksi beliau. Ada sebab mengapa nama Zamorano sentiasa dikenang oleh penyokong dan peminat sukan bola sepak dari era 90an. Sumbangan beliau adalah contoh dimana statistik menjadi kayu pengukur yang tidak adil.

Ini kerana nombor sahaja tidak boleh menjelaskan kesungguhan, keinginan, dan keazaman luar biasa yang pemain ini pamerkan setiap kali beraksi di atas padang. Nama panggilan seperti Bam Bam, atau pun Ivan El Terrible yang sinonim dengan beliau sedikit sebanyak hanya mengisahkan karakter pemain ini.

Jiwa I Nerazzurri

Dalam satu majlis, San Siro gempita ketika mengucapkan selamat tinggal kepada pemain yang telah menyumbang bakti kepada mereka selama lima musim itu. Ada sebab mengapa penyokong Inter Milan sangat menghargai Zamorano, walaupun rekod yang beliau hasilkan – 41 gol dari 149 perlawanan- bukan pencapaian menggambarkan seorang legenda.

Naratifnya mudah. Ini kerana kisah Zamorano dan Inter Milan ibarat satu kisah cinta sejati. Bintang Chile itu dilihat sebagai seorang Interista yang mengabdikan dirinya kepada kelab tersebut.

Bekas jurulatih selama semusim di Inter, Gigi Simoni pernah berkata Zamorona ibarat jiwa kepada pasukan yang diwakilinya.

“Saya masih ingat bagaimana Zamorano membangkitkan semangat pemain sebelum menuju ke padang. Setiap perlawanan ibarat sebuah peperangan. Namun ia bukan sekadar mengenai keazaman. Beliau juga adalah pemain yang bagus,” ujar Simoni.

Zamorano hanya tampil di dalam 20 perlawanan dan menghasilkan empat gol pada musim 1997/98 di bawah kendalian Simoni disebabkan kecederaan. Namun peranan beliau bukan sekadar sebagai seorang penjaring gol ketika diturunkan beraksi di atas padang.

Gandingan sempurna Ronaldo

Zamorano juga dianggap sebagai gandingan sempurna kepada Ronaldo- penyerang prolifik dari Brazil yang tiba dari Barcelona pada 1997. Kehadiran Zamorano memudahkan Ronaldo menyesuaikan diri dengan bola sepak di Itali yang lebih bersifat teknikal pada era itu.

Kebijaksanaan Zamorano mengalihkan perhatian pemain pertahanan lawan memudahkan Ronaldo memburu jaringan yang Inter mahukan.

Pada musim pertama, Ronaldo menghasilkan 34 gol keseluruhan untuk Inter. Kebanyakkan daripada jaringan tersebut hadir ketika Zamorano beraksi di sisi beliau.

Empat jaringan Zamorano pula dihadirkan di saat paling memerlukan pada akhir musim – termasuk jaringan pembukaan ketika Inter menewaskan Lazio 3-0 di pertandingan Piala UEFA 1997/98.

Kisah jersi dengan nombor unik 1+8

Musim panas 1998, Roberto Baggio pula tiba untuk menyertai Ronaldo dan Zamorano di San Siro. Walaupun pemain antarabangsa Itali itu sinonim dengan jersi No.10 yang dipakai oleh Ronaldo, Inter memilih untuk menyerahkan jersi No.9 milik Zam0rano kepada pemain berambut tocang itu.

Bagi Zamorano ia bukan masalah besar. Malah beliau mempunyai solusi kepada masalah tersebut walaupun tetap mahukan jersi No.9. Untuk menyelesaikan perkara tersebut, Zamorano memilih jersi No.18 dengan tanda ‘+’ di antara angka 1 dan 8. 1+8 bersamaan dengan 9. Masalah selesai.

Ketegasan Zamorano untuk menyarung jersi No.9 menjelaskan satu perkara mengenai peribadi beliau. Bahawasanya beliau memahami peranan dirinya di atas padang sebagai pemain No.9.

Pemain baka False 9?

Atau adakah lebih tepat kita mengandaikan Zamorano merupakan No.9 jadian (false 9) berdasarkan bagaimana beliau membantu Ronaldo untuk menjaringkan jumlah gol yang lebih banyak?

Tiada dokumentasi yang dijumpai menyatakan Zamorano adalah pemain No.9 jadian seperti mana yang kita ketahui mengenai peranan penyerang sebegitu pada hari ini. Namun ianya tetap satu kemungkinan. Ini kerana peranan No.9 jadian bukan perkara baru dan mula diguna pakai sejak era 50an lagi.

Mandatory Credit: Claudio Villa /Allsport

Fakta ini turut disokong dengan kecenderungan jurulatih untuk menurunkan Zamorano di dalam kesebelasan utama Inter – walaupun mempunyai deretan pemain penyerang yang lain.

Selain daripada Baggio dan juga Ronaldo, Inter Milan turut dibarisi pemain seperti Adrian Mutu, Alvaro Recoba dan Christian Vieri ketika itu.

(Photo by Matthew Ashton/EMPICS via Getty Images)

Zamorano kekal sebagai pilihan utama jurulatih sehinggalah beliau memilih untuk menyertai Club America di Mexico pada usia 34 tahun.

Roy Hodgson dan Simoni cukup menyedari kepentingan pemain seperti Zamorano di dalam pasukan. Begitu juga pengurus-pengurus lain yang mengambil alih Inter selepas itu seperti Luciano Castellini, Mircea Lucescu, atau pun Marcello Lippi.

Penutup

Chile telah menghasilkan ramai pemain hebat seperti Alexis Sanchez, Arturo Vidal, Marcelo Salas, Carlos Caszely, Sergio Livingstone dan ramai lagi. Namun hanya ada satu pemain seperti Ivan Zamorano. Pemain yang sentiasa memberikan sepenuh jiwa di atas padang.

Ivan Zamorano: Legenda No.9 unik Real Madrid yang dianggap sebagai Intertrista sejati.