Rata-rata penyokong masih ternanti-nantikan jaringan gol pertama Faisal Halim sejak perpindahan dari Terengganu ke Selangor untuk musim ini.
Musim lalu, bersama Terengganu, Faisal berhasil merekodkan enam gol dan lapan ‘assists’ di Liga Super dalam 20 penampilan, tiga gol dalam lima penampilan di Piala FA serta dua gol dan lima ‘assists’ dalam enam penampilan di Piala Malaysia. 11 gol dan 13 ‘assists’ pada musim lalu.
Beliau meneruskan rentak baik tersebut ke saingan Piala AFF 2022 apabila cemerlang bermain dalam enam penampilan dan mencipta empat jaringan.
Ini mencetuskan persoalan di kalangan penyokong, bilakah agaknya pemain sayap menyerang itu akan berhasil melakar gol dengan The Red Giants?
Dalam aksi berdepan Penang pada lewat petang semalam, Faisal yang mesra dipanggil Miki di kalangan penyokong itu masih gagal meledak gol.
📹 HIGHLIGHTS: @Penang_FC 1-2 @SelangorFC
Selangor menewaskan Penang dalam aksi yang penuh dramatik di Stadium Bandaraya.
👉 https://t.co/FC8PIY74X2#LigaSuper2023 #DemiLigaKita pic.twitter.com/lvUxnPgs22
— Malaysian Football League (@MFL_MY) March 12, 2023
Dalam empat penampilan dengan 285 minit permainan, Faisal setakat ini hanya melakar tiga ‘assists’ – pendahulu carta. Di belakangnya terdapat penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Fernando Forestieri dan bek sayap Kelantan, Ghaffar Abdul Rahman dengan dua ‘assists’ masing-masing.
Adakah beliau bergelut mencari sentuhan penyudah bersama pasukan?
Atau mungkinkah gaya permainan di bawah Tan Cheng Hoe masih belum masuk ke dalam gaya permainannnya? Kita tahu Faisal adalah pemain yang pantas dan lincah berbanding rentak permainan Cheng Hoe yang dilihat lebih mementingkan kesabaran dalam penguasaan permainan.
Apabila semuanya sepadan, mungkin ketika itu Faisal akan ‘meletup’?
Hanya masa akan tentukan segalanya, tetapi bagaimana penerimaan pasukan terutamanya pengendali pasukan berikutan prestasinya.
The moment that we’ve been waiting for❗
🔴🟡 Faisal Halim #IsRED🔴🟡
👋 Welcome to Selangor FC, Faisal Halim! 🔴🟡#MKLK pic.twitter.com/LmZRu7gGyO
— Selangor FC (@selangorfc) December 22, 2022
Ketika ditanyakan di sidang media selepas perlawanan tentang jangkaan penyokong yang masih ternanti-nantikan jaringan pertama oleh Faisal, Cheng Hoe dilihat tenang dan mengatakan beliau dan barisan kejurulatihan Selangor tidak sesekali risau dengan pemain skuad kebangsaan itu.
“Kami barisan jurulatih tidak terlalu risau tentang Faisal Halim sama ada dia menjaringkan gol [atau tidak]. Yang penting adalah sumbangan dia terhadap pasukan. Hari ini, dia tidak menjaringkan gol tetapi membuat satu ‘assist’,” ujar Cheng Hoe mengenai ‘penantian’ jaringan sulung oleh Faisal.
“Itu bermakna sumbangannya untuk pasukan agak baik dan kita tidak terlalu menekan Faisal untuk menjaringkan gol, yang penting adalah kemenangan berpihak kepada pasukan,” jelasnya lagi tentang pertimbangannya.
Ini bermaksud, Faisal tidak dinilai menerusi berapa gol yang dijaringkannya, tetapi bagaimana beliau memberi sumbangan bermakna ketika beraksi.
Selangor merupakan salah satu daripada empat pasukan yang belum tewas dalam saingan Liga Super 2023 bersama JDT, Sabah dan Sri Pahang.
Mereka masih dalam prestasi yang baik waima Faisal belum mencipta gol.