Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menegaskan beliau tetap waspada terhadap kebangkitan Timor Leste yang pasti akan menurunkan barisan terkuat pada perlawanan kedua Kelayakan Piala Dunia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada hari selasa ini.
Meskipun meraih kemenangan besar ke atas Timor Leste, 7-1 pada perlawanan pertama jumaat lepas dan sudah sebelah kaki ke pusingan kedua, Cheng Hoe menyifatkan banyak kesilapan mudah masih dilakukan oleh anak buahnya apabila bolos satu jaringan.
Justeru itu, beliau enggan mengambil risiko menurunkan barisan kedua kerana kemenangan amat penting untuk menaikkan kedudukan ranking negara sambil mengesahkan tiket ke pusingan kedua.
“Kita perlu berwaspada dengan serangan balas Timor Leste yang bijak menyempurnakan peluang terhidang, sekali gus akan menurunkan barisan terkuat pada perlawanan kedua bagi memastikan kemenangan berpihak kepada Malaysia.
“Namun, apa yang penting sekarang ini adalah memastikan semua pemain bebas daripada kecederaan terutama Muhammad Syafiq Ahmad yang dimaklumkan serius.
“Oleh itu, kita tidak akan menurunkan pasukan kedua dan tetap dengan barisan kesebelasan utama bagi menghadapi perlawanan kedua nanti” katanya seperti dipetik dalam Harian Metro
Selain itu, menurutnya, beberapa pemain sepatutnya menyumbat lebih banyak gol apabila gagal manfaat sekurangnya lima peluang di hadapan gol lawan.
“Walaupun ada beberapa pemain utama tidak menjaringkan gol seperti Mohamadou Sumareh, namun dia bijak merencanakan serangan dan bantuan gol untuk pasukannya. Selain itu, pemain gantian seperti Muhammad Shahrel Fikri, Muhammad Akhyar Rashid dan Faiz Nasir juga bermain dengan baik sehingga mampu menjaringkan gol,” katanya
Enam pemenang daripada pusingan pertama termasuk pemenang play-off antara Malaysia dan Timor Leste, akan menyertai 34 pasukan ranking teratas di Asia pada pusingan kedua termasuk penyandang juara Piala Asia, Qatar, selaku tuan rumah Piala Dunia 2022.
Pada pusingan kedua yang dijadual September ini, 40 pasukan akan dibahagikan kepada lapan kumpulan dengan juara kumpulan dan empat pasukan kedua terbaik akan layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022 dan slot automatik ke Piala Asia 2023.