Tammy Abraham dilaporkan akan memilih untuk mewakili skuad kebangsaan Nigeria.
Penyerang muda Chelsea yang kini dipinjamkan ke Swansea City itu dinilai sebagai salah seorang bakat muda yang mempunyai masa depan cerah di Englad.
Pemain berusia 19 tahun itu berjaya menjaringkan 26 gol dalam 48 penampilannya musim lalu ketika dipinjamkan ke Bristol City dan pernah beraksi bersama skuad remaja England sebelum ini.
Beliau juga merupakan antara pemain utama bagi pasukan B-21 England pada Kejuaraan Eropah B-21 yang berlangsung di Poland bulan Jun lalu.
Namun, pemain kelahiran Chamberwell, London itu merancang untuk berbakti buat negara kelahiran ibu bapanya iaitu Nigeria. Satu keadaan yang mungkin sedikit merugikan England.
Berita itu disahkan sendiri oleh Presiden Bola Sepak Nigeria, Amaju Pinnick yang juga merupakan sahabat kepada ayah Abraham yang memberitahu kepada The Sun: ”Saya telah mengadakan perbincangan yang sangat jujur dan produktif dengan Tammy dan ayahnya minggu lalu.”
“Ini merupakan satu proses yang lama tetapi saya boleh memberitahu anda secara sah bahawa dia (Abraham) telah bersetuju untuk bermain untuk Nigeria dan bukannya England.”
“Dia dan ibu bapanya telah memulakan dokumen yang diperlukan untuk perkara ini. Jelas dia memahami bahawa dia mempunyai peluang yang lebih baik bermain untuk Super Eagles.”
“Dengan bakatnya, dia mempunyai keupayaan untuk merebut tempatnya dalam skuad Nigeria, oleh rahmat Tuhan membawa kami ke Russia, maka dia akan merebut peluang untuk mewakili tanah airnya.”
Pinnick dan bapa Abraham membesar bersama-sama di Warri yang merupakan bandar di selatan Nigeria.
Pinnick juga tanpa berselindung mengatakan bahawa hubungan rapat beliau bersama ayah Abraham juga menyebabkan perkara tersebut berjaya.
Beliau berkata: “Saya sering berkata bahawa hubungan saya dengan bapanya akan membantu dan jadi penting untuk saya bercakap dengan mereka bersama-sama.”
“Mereka gembira dengan prospek bermain untuk Nigeria.”
“Sudah tentu semua orang di England dapat melihat apa yang Victor Moses dan Alex Iwobi telah capai dengan Nigeria.”
“Kita mesti menunggu kerana tidak begitu mudah berurusan dengan FIFA. Tetapi yang penting ialah kami telah berjaya mendapatkan khidmat Tammy.”
Misi seterusnya bagi Pinnick adalah untuk mendapatkan khidmat adik kepada Tammy Abraham iaitu Timmy Abraham yang kini beraksi untuk pasukan B-18 Fulham. Timmy kini baru berusia 16 tahun.
Sumber :
Talksport (2017) – https://talksport.com/football/london-born-tammy-abraham-turn-back-england-and-play-nigeria-claims-president-nigeria
The Sun (2017) – https://www.thesun.co.uk/sport/football/4511682/tammy-abraham-nigeria-england-chelsea-swansea/