Saingan Terengganu Amateur League 2018 (TAL2018) akhirnya sampai juga ke perlawanan akhir dengan menyaksikan BTK FC bertemu dengan MD Besut di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
MD Besut merupakan pasukan yang dianggap sebagai pilihan untuk memenangi kejohanan perlawanan ini jika dianggap dari segi rekod mereka musim ini.
Hal ini kerana, musim ini mereka tidak kalah dalam mana-mana perlawanan liga dan piala sebelum ke perlawanan akhir.
Perlawanan yang dijangka akan dilangsungkan dalam keadaan intensiti tinggi menemui titik didihnya apabila minit ke-23 menyaksikan BTK FC beraksi dengan 10 pemain.
Semuanya berpunca dari keputusan pengadil yang menlayangkan kad merah kepada Sukri Faiz yang menyiku pemain MD Besut.
Selang 11 minit kemudian, BTK FC berada di depan hasil dari penyudah Shaiful Rahimie.
Bermain dengan berkelebihan 1 pemain memberikan lebih banyak sebab kepada MD Besut menguasai perlawanan.
Hasilnya pada minit ke-50, Akid Wahab berjaya menyamakan kedudukan untuk mengembalikan MD Besut dalam perlawanan ini.
Kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat 90 minit dan pemenang dicari menerusi masa tambahan 30 minit.
Drama berterusan dalam tempoh tersebut apabila 2 gol lewat hadir memberikan rasa tidak senang duduk buat pihak pengurusan pasukan di bangku simpanan mahupun penonton yang hadir.
MD Besut mendahului hasil sentuhan Fadzlie Shamsuddin pada minit ke-116 dan jaringan beliau hampir pasti menutup ruang kepada BTK FC untuk kembali.
Namun begitu, BTK FC tidak mudah mengalah. Ibrahim Mat Rasid menangguhkan hajat MD Besut dengan jaringan pada minit ke-118 untuk membawa permainan ini ke penentuan sepakan penanlti.
Dalam penentuan sepakan penalti yang di mana tuah jelas memainkan peranan penting, perkara itu jelas memihak BTK FC apabila mereka berjaya menang dengan jaringan 5-3.
BTK FC muncul juara dan berjaya melayakkan diri ke saingan Liga M4 yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Sementara bagi MD Besut, mereka pastinya rela menukar rekod tanpa kalah mereka dengan satu lagi peluang untuk beraksi di perlawanan akhir.
Tahniah buat BTK FC dan kepada MD Besut, anda telah menjadi antara pasukan yang digeruni musim ini!
Berikut merupakan senarai pemenang anugerah-anugerah individu bagi musim TAL2018:
- Ibrahim Mat Rassid – BTK FC (pemain terbaik perlawanan akhir)
- BTK FC – Juara Piala TAL2018
- MD Besut – Naib Juara Piala TAL2018
- MD Besut – Juara Liga Super
- Real Chukai – Naib Juara Liga Super
- DSPEX FC – Juara Liga Perdana
- Markless ST – Naib Juara Liga Perdana
- Shaiful Rahimie (BTK FC) – Penjaring Terbanyak Piala TAL2018
- Syahid Azrai (MD Besut) – Penjaring Terbanyak Liga Super
- Syafie Abdul Rahman (Markless ST) – Penjaring Terbanyak Liga Perdana
- Raja Permin FC – Media Sosial Terbaik