Quantcast

KAJIAN & FAKTA

Dari Meja Peguam Sukan: Bolehkah Akhyar Rashid Bermain Untuk JDT Tanpa Sijil Perpindahan?

Dalam segmaen kali ini, kami sekali lagi membawa perkongsian daripada Peguam Sukan – Zhafri Aminurashid
dari Tetuan Fahmi Zhafri Ashraf & Co. Beliau berkongsi pandangan dalam ‘page’ rasmi beliau Legal Ke Bola.

KES KE FIFA / CAS : Akhyar boleh terus bermain untuk JDT?

“Jendela perpindahan untuk Liga-M bagi tahun 2019 kali ini terus menjadi bualan peminat bolasepak negara terutamanya isu berkaitan dengan pemain baharu JDT, Akhyar Rashid.”

“KFA tetap dengan pendirian mereka untuk membawa kes berkaitan perpindahan Akhyar ini sehingga ke pengetahuan FIFA / CAS. Malah ada yang menjangkakan Akhyar tidak boleh bermain untuk JDT sehingga kes ini selesai diperingkat FIFA/CAS yang mungkin mengambil masa di antara satu hingga dua tahun untuk diselesaikan.”

“Pelbagai pandangan dan pendapat diberikan oleh pelbagai pihak mengenai isu ini. Bagi mengelakkan kekeliruan dan berterusan andaian dan analogi diberikan, saya cuba untuk menerangkan sedikit sebanyak berkenaan prosedur ini.”

Memahami Artikel 9

“Menurut Artikel 9: Peraturan Status dan Pemindahan Pemain Bolasepak Malaysia (PSPP) Sijil Perpindahan antara Negeri (SPN) mestilah dipohon oleh Pemain kepada Pasukan Asal untuk perpindahan dalam negeri ataupun Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC).”

“SPN / ICT ini hendaklah diberikan secara percuma tanpa apa-apa syarat atau had masa.”

“Prosedur lanjut perpindahan Pemain tempatan adalah dikawal di bawah Lampiran 3A: Tatacara Pentadbiran Mengurus Perpindahan Pemain antara Persatuan Bolasepak Negeri (PBN) diluar Transer Matching System (TMS).”

Artikel lain yang berkaitan

“Antara Artikel-artikel penting adalah seperti berikut:

Artikel 2 (2) – Pemain-pemain yang berdaftar dengan Pasukan tidak layak bermain untuk Pasukan lain kecuali SPN telah dikeluarkan oleh Pasukan Asal dan diterima oleh Pasukan Baru.

Artikel 2 (4) – Pemain boleh menandatangani Kontrak dengan hanya satu Pasukan pada satu- satu masa. Pasukan dan Pemain perlu mengemukakan satu salinan Kontrak yang lengkap kepada FAM apabila mendaftar dengan Pasukan Baru.

Artikel 3 (1) – Pasukan Asal hendaklah, apabila menerima sesuatu permohonan, mengeluarkan SPN melalui PBN yang ia bergabung dalam masa tujuh hari.

Artikel 3 (2) – Jika SPN tidak diberikan oleh Pasukan asal, Pemain Profesional, Pasukan Asal dan/ atau Pasukan Baru berhak untuk membuat tuntutan melalui Jawatankuasa mengikut Lampiran 3A, Artikel 2,Perenggan 5. FAM akan memutuskan mengenai isu SPN ini dan mempertimbangkan tindakan yang sewajarnya dalam tempoh 30 hari.”

Artikel 4

Menurut Zhafri, peruntukan dalam Artikel 4 adalah yang terbaik untuk merujuk kepada kes ini.

“Berdasarkan kepada kronologi perpindahan Akhyar ke JDT. Adalah lebih sesuai untuk dirujuk kepada Artikel 4: yang mana pasukan baru hanya perlu memohon SPN kepada pasukan lama dan pasukan lama perlu dalam masa 7 hari mengeluarkan SPN kepada pasukan baru.”

Malaysia’s midfielder Muhammad Akhyar Abdul Rashid (yellow) fights for the ball with Vietnam’s forward Nguyen Cong Phuong (red-L) during the 2018 AFF Suzuki Cup group A football match at My Dinh National Stadium in Hanoi on November 16, 2018. (Photo by Manan VATSYAYANA / AFP) (Photo credit should read MANAN VATSYAYANA/AFP/Getty Images)

Kenapa

“Ini adalah kerana keputusanJawatankuasa Status FAM yang memutuskan Akhyar berhak untuk menamatkan kontrak sebelah pihak dengan membayar baki harga kontrak. Setelah itu, Akhyar telahpun bebas untuk menandatangani apa-apa kontrak bersama pasukan lain.”

“Oleh itu, KFA perlu dalam masa 7 hari menyerahkan SPN kepada JDT untuk pendaftaran Akhyar bersama JDT.”

Bagaimana pulak jika KFA enggan untuk memberikan SPN dalam masa 7 hari tersebut?

“Menurut Artikel 3.1 (12) – Sekiranya Pasukan Baru tidak menerima sebarang maklum balas kepada permohonan SPN dalam tempoh 14 hari, Pasukan Baru boleh serta-merta mendaftarkan Pemain Profesional sebagai Pendaftaran Sementara dengan Pasukan Baru.”

Apa itu pendaftaran sementara?

“Pendaftaran Sementara ini akan menjadi tetap selepas 90 hari dari tarikh permohonan SPN dibuat.”

“Jawatankuasa akan menggunakan pertimbangan yang wajar ke atas status Pendaftaran Sementara, jika, semasa tempoh 90 hari, Pasukan Asal mengemukakan alasan kukuh yang menjelaskan mengapa permohonan SPN itu tidak dibalas.”

“Ini bermakna sekiranya KFA enggan memberikan SPN kepada JDT dengan apa-apa sebab sekalipun, FAM berhak untuk membenarkan JDT mendaftarkan Akhyar sebagai Pendaftaran Sementara sekaligus membolehkan Akhyar bermain untuk JDT sehingga keputusan FIFA/CAS mengatakan sebaliknya.”

Akhyar

“Ini adalah kerana, sekiranya JDT atau Akhyar perlu dikenakan sekatan di peringkat FAM, ianya perlu diputuskan semasa peringkat Jawatankuasa Status. Keputusan tersebut telahpun dimuktamadkan setelah Jawatankuasa Rayuan menolak rayuan KFA mengenai perkara tersebut.”

“Harus diingatkan bahawa KFA masih belum lagi membuat dakwaan/ memfailkan bantahan terhadap JDT dan Akhyar kepada FAM mengenai wujudnya tapping up di dalam usaha JDT mendapatkan khidmat Akhyar.”

“Selagi itu, tiada sebarang sekatan yang boleh dikenakan ke atas Akhyar mahupun JDT buat masa ini setelah Jawatankuasa Status memutuskan Akhyar berhak untuk menamatkan kontrak sebelah pihak dan kemudiannya menjadi agen bebas.”

Hanya CAS yang boleh menentang keputusan FAM

Akhir sekali, beliau menyatakan, hanya Mahkamah Timbang Tara Sukan Antarabangsa yang boleh menentang keputusan FAM di atas perpindahan ini – seperti mana yang berlaku dalam mana-mana kes di dunia sekalipun.

“Berdasarkan peraturan-peraturan yang dinyatakan di atas, JDT boleh mendaftarkan Akhyar sebagai pemain bagi Liga-M 2019 dan boleh bermain untuk JDT sehingga diputuskan sebaliknya oleh FIFA/CAS.”

“Yang bulat tidak datang menggolek, yang pipih tidak datang melayang. Alah sabung, menang sorak.”

Nota editor: Pandangan ini adalah daripada Peguam Sukan – Zhafri Aminurashid yang disalin semula atas kebenaran penulis. Sila ikuti akaun peribadi Zhafri Aminurashid dan page Legal Ke Bola untuk lebih kupasan daripada penulis.

Jika anda ada pandangan tentang bola sepak dalam dan luar negara untuk dikongsikan – email ke [email protected]gmail.com dalam format microsoft words.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!