Penjaga gol kebangsaan, Farizal Marlias tidak pernah menganggap diri beliau berada dalam zon selesa bersama skuad negara biarpun kini persaingan bagi merebut posisi utama itu sedikit berkurang setelah ketiadaan Rahadiazli yang terpaksa digugurkan akibat Covid-19.
Walaupun tanpa penjaga gol muda Terengganu itu, Farizal masih perlu berdepan dengan dua lagi penjaga gol yang tak kurang hebatnya iaitu Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi dan Khairulazhan Khalid yang pastinya turut memasang impian menjadi penjaga gol utama kebangsaan dalam tiga aksi persahabatan di Singapura pada hari Rabu ini.
Farizal Marlias guna sebaik mungkin peluang diberikan untuk galas cabaran negara. pic.twitter.com/zx7QARwNtc
— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) March 18, 2022
Jika dilihat pada prestasi semasa dan pengalaman yang ada, nyata kelebihan tersebut memihak kepada Farizal untuk lebih layak dipilih selaku penjaga gol utama negara oleh Kim Pan Gon berbanding dua lagi penjaga gol iaitu Khairulazhan dan Kalamullah.
Namun segalanya masih belum pasti kerana Pan Gon pastinya ada pengamatan tersendiri mengenai para pemain beliau yang bakal dipilih.
Berkemungkinan juga bekas pengendali skuad kebangsaan Hong Kong itu bakal memilih ketiga-tiga penjaga gol tersebut untuk digunakan dalam tiga perlawanan di Singapura nanti sewaktu menentang pasukan tuan rumah, Filipina, dan kelab tempatan iaitu Albirex Niigata.
Menurut Farizal, beliau mengakui tiada jaminan untuk dirinya sentiasa berada dalam senarai kesebelasan utama selain menganggap pengalaman dan ketangkasannya sebelum itu sebagai bukan satu kelebihan.
“Saya tidak pernah berasa selesa dari segi posisi saya atau pun apa sahaja. Jika diberi peluang, saya sudah pasti akan memberikan yang terbaik.
“Apa yang saya lihat, Khairulazhan dan Kalamullah memberikan komitmen yang sangat baik. Jadi sesiapa yang diturunkan pun harus memberikan komitmen dan aksi terbaik.
“Sudah pasti peluang ini saya tak nak lepaskan. Apa yang saya impikan dari kecil adalah bermain untuk negara. Jadi saya harus gunakan sepenuhnya dan berharap boleh berikan sesuatu kepada negara,” katanya menerusi Harian Metro.
Sebelum itu, Rahadiazli menjadi pemain kedua yang digugurkan dari skuad kebangsaan kerana jangkitan Covid-19 setelah sebelum itu penyerang berbisa Petaling Jaya City, Darren Lok turut mengalami masalah yang sama.
Dalam masa sama, Farizal turut menyifatkan Pan Gon sebagai seorang jurulatih yang sangat tegas serta mementingkan nilai disiplin yang cukup tinggi sewaktu sesi latihan selain cuba menerapkan teras intensiti permainan yang tinggi.
Walaupun dilihat tegas, Farizal mengakui sikap pengendali tersebut dilihat sangat berasas kerana kem kebangsaan juga perlu berhati-hati terutama bagi mengelak dijangkiti Covid-19.
“Perbezaannya Pan Gon ini lebih tegas, berdisiplin dan kita tahu budaya Korea Selatan bagaimana. Sebagai pemain, kita harus ikut apa yang diterapkan dan itu satu perkara positif bagi kami.
“Situasi sekarang ini adalah masalah Covid-19, jadi dia agak tegas dengan perkara itu dan saya rasa munasabah juga kerana apabila seorang kena, akan jadi masalah kepada yang lain. Dalam padang memang dia tegas, tapi luar padang dia OK,” katanya.