Sudah dua musim di Thai League 1, Junior Eldstal tidak bermain di posisi asalnya iaitu pemain tengah bertahan dan dalam saingan Piala AFF Suzuki 2020, besar kemungkinan beliau bakal kembali ke posisi tersebut.
Tiada masalah menurutnya, beliau berkata kepada The Star yang beliau hanya memerlukan beberapa sesi latihan untuk kembali bersedia beraksi di posisi tersebut. “Saya dilahirkan di posisi tengah bertahan, jadi bukan masalah besar untuk sesuaikan diri,” ungkap pemain kacukan Malaysia-Sweden itu mengenai kemungkinan itu.
Sebelum berehat panjang akibat kecederaan, Junior Eldstal adalah pemain tengah bertahan dan penampilan awalnya bersama Harimau Malaya adalah di posisi tersebut. Cuma sejak kembali beraksi di Thai League bersama Chonburi FC, pemain berusia 30 tahun itu tampil 13 kali beraksi sebagai bek tengah musim ini.
Great way to end the year. What a squad. See you soon @ChonFCOfficial 🦈💙 pic.twitter.com/r7tWL4bzMy
— Junior Eldstål (@JuniorEldstal) November 29, 2021
“Saya telah bermain sebagai bek tengah sejak dua musim ini [di Thai League], jadi selepas beberapa sesi latihan saya akan sesuaikan diri,” jelas pemain kelahiran Sabah itu seolah-olah mengiyakan perubahan tersebut.
Ini kerana, pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe telah memberi bayangan yang beliau tidak panik kehilangan dua pemain tengah, Akram Mahinan dan Kenny Pallraj, malah di tangannya ada beberapa lagi pemain yang telah bersedia untuk bermain di posisi tersebut selain mereka berdua. Siapakah mereka?
Menurut Cheng Hoe, selain Junior Eldstal yang memang posisi asalnya adalah pemain tengah, beliau juga memiliki Syafiq Ahmad, Dion Cools dan R. Kogileswaran. Melihat semula formasi taktikal kegemarannya, jelas yang jika Junior Eldstal tiada – cedera atau penggantungan, Baddrol Bakhtiar adalah pilihan kedua yang ada.
‘Bukanlah Pengganti Pemain Tengah’ – Arif Aiman Akhirnya Tiba Ke Kem Harimau Malaya
Baddrol Bakhtiar juga seorang pemain utiliti di jentera tengah dan mampu beraksi di mana-mana bahagian di tengah. Mungkin disebabkan itu, Cheng Hoe seolah-olah tidak panik, malah langsung tidak membuat panggilan kecemasan untuk mengisi semula posisi yang terjejas itu, malah yakin dengan pemain sedia ada di kem negara,
“Buat masa ini, kita tak panggil pemain lain untuk menggantikan mereka, tetapi tumpu dengan pemain yang sedia ada [di kem skuad kebangsaan],” ungkap pengendali berusia 53 tahun itu sebelum ini. Penggantian pemain hanya dilakukannya untuk dua posisi iaitu penjaga gol dan pemain sayap yang turut terjejas.
Arif Aiman Hanapi dan Kalamullah Al-Hafiz telah dibawa masuk sebagai pengganti kepada Mohamadou Sumareh serta Azri Ab Ghani yang dilaporkan mengalami kecederaan dan tidak di bawa ke Singapura.
Dalam pada itu, Cheng Hoe telah mengumumkan senarai 24 pemain untuk di bawa ke saingan Piala AFF kali ini dengan menggugurkan hanya seorang pemain di kem skuad kebangsaan iaitu Fayadh Zulkifli. Seperti yang dimaklumkan lima pemain digugurkan lebih awal akibat kecederaan yang mereka alami sebelum itu.
Selain Akram Mahinan dan Kenny Pallraj, Malaysia kehilangan Darren Lok, Sumareh dan Azri Ab Ghani. “Saya percaya dengan semua pemain yang telah disenaraikan. Jangkaan memang tinggi namun semua pemain ini bermotivasi tinggi. Kami akan langsaikan tugas dengan baik di Singapura nanti,” ungkap Cheng Hoe.