“Tak perlu Bising”- Bekas Legenda Arsenal Bela Pengadil Isu Kad Merah Casemiro

Bekas legenda Arsenal iaitu Ray Parlour menyelar tindakan segelintir penyokong Manchester United yang tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil pada perlawanan baru-baru ini.

Kritikan segelintir penyokong United ketika itu ialah berkenaan isu kad merah dilayangkan kepada pemain tengah pasukan tersebut iaitu Casemiro yang dianggap tidak tepat.

Ketika itu, Casemiro diarahkan keluar daripada padang pada minit ke-34 ketika perlawanan membabitkan United menentang Southampton di Old Trafford.

Pengadil perlawanan bertugas ketika itu merupakan Anthony Taylor dan beliau menjadi antara mangsa kritikan penyokong United menerusi media sosial kerana isu layangan kad merah.

Perlawanan tersebut berakhir dengan kedua pasukan masing-masing terikat tanpa sebarang jaringan, walaupun United tampil dengan 10 pemain sahaja.

Disebabkan keputusan pengadil tersebut yang dianggap sangat kontroversi, ianya menjadi tular di media sosial sebelum tampil Parlour untuk memberi penjelasan.

“Bila awak tengok kembali, situasi tersebut memang tepat dan saya tak rasa penyokong Manchester United akan lihatnya kembali sambil tidak berpuas hati tentang situasi kad merah itu,” jelas Parlour menerusi Sportbible.

Sehingga kini, Casemiro sudah pun mengutip dua kad merah sepanjang aksinya bersama The Red Devils dalam saingan English Premier League (EPL).

Apa yang lebih menarik, dua kad merah tersebut menyamai rekod beliau sepanjang sembilan tahun sebelum itu ketika mewakili Real Madrid.

Pemain berusia 31 tahun itu kini bakal terlepas empat perlawanan dalam saingan EPL dengan membabitkan pertemuan bersama Fulham, Brentford, dan Everton.

Walaubagaimana pun, dia akan kembali bersama rakan sepasukan untuk pusingan kedua aksi menentang Real Betis kerana penggantungan tersebut tidak dibawa ke saingan UEFA.

Tanpa Casemiro, situasi pastinya sedikit sukar buat United selepas pemain tersebut jelas menjadi kunci utama kekuatan pasukan setakat ini dalam permainan di bahagian tengah sejak penyertaan beliau bersama United.

Pengalaman dan reputasi Casemiro sebelum itu bersama Real jelas dipamerkan dengan begitu baik di Old Trafford dan dianggap sebagai salah satu pemain paling berbaloi berada bawah kendalian Erik ten Hag.

Sumber:
Sports Bible

Leave a Reply