Pengendali Selangor, Tan Cheng Hoe memuji persembahan tidak mudah menyerah para pemainnya walaupun begitu hampir dengan kekalahan semalam.
Beraksi menentang Sri Pahang semalam di laman sendiri, Selangor bagaimana pun ketinggalan memasuki 15 minit akhir perlawanan.
Keadaan semakin sukar apabila sebaik sahaja Pahang menjaringkan gol, hujan turun dengan cukup lebat sehingga menggangu pergerakan bola di tengah padang.
Mujur pada penghujung perlawanan, Brendan Gan berjaya menanduk masuk bola dan memastikan Selangor kekal tidak kalah setakat tiga aksi Liga Super.
Semangat tidak mudah ‘koyak’ itu buatkan kenapa Cheng Hoe begitu gembira dengan skuadnya kerana pantang menyerah sebelum wisel penamat ditiupkan.
“Semangat juang dalam pasukan sangat bagus walaupun dalam minit terakhir kami tidak putus asa, kami teruskan menyerang, teruskan mencipta peluang walaupun situasi hujan dan padang yang begitu sukar uuntuk kami bermain bola sepak kami secara biasa.
“Secara keseluruhan, kami masih lagi mencipta peluang dan kami positif dengan keputusan tersebut,” ujar Cheng Hoe.
🎙️ “Saya berpuas hati dengan semangat juang tinggi yang dipamerkan oleh skuad. Secara keseluruhan kita masih mencipta banyak peluang dan bermain secara positif!"
🗣️ Dengarkan komen dari Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe mengenai perlawanan #SELSRP petang semalam.#MKLK pic.twitter.com/bBNHOCb6wy
— Selangor FC (@selangorfc) March 6, 2023
Tanpa menafikan persembahan yang baik ditonjolkan oleh skuad Fandi Ahmad, Cheng Hoe sedar yang Pahang turut memberikan tentangan yang sengit menerusi corak permainan bertahan.
“Kami tahu juga yang Pahang corak bertahan yang kompak dan menyerang secara serangan balas pantas.
“Kami [saya] berharap yang setiap pemain dapat belajar daripada situasi tersebut,” tambah Cheng Hoe lagi.
Selangor masih mengekalkan rekod tanpa kalah dan kini menduduki tangga teratas Liga Super selepas tiga perlawanan.
Kedudukan itu mungkin berubah sekiranya Sabah dan Johor Darul Ta’zim menang perlawanan masing-masing malam ini.