“Tak Mahu Kecewa Kali Kedua”- Nafuzi Zain Tuntut Kedah Beri Fokus Penuh Bertemu Penang

Selepas dikejutkan oleh Penang menerusi kekalahan pusingan pertama Piala FA lalu, Kedah Darul Aman (Kedah) pastinya mahu mencipta kebangkitan untuk kembali menjadi kuasa besar di utara tanah air pada saingan Liga Super malam ini.

Kedah yang akan melayan kunjungan Penang malam ini di Stadium Darul Aman (SDA) pastinya sudah mempelajari sesuatu berdasarkan perlawanan lalu ketika bertemu mereka dalam saingan Piala FA.

Nafuzi Zain selaku pengendali Kedah menyatakan ingin menebus kembali atas kekalahan lalu dengan memberi fokus penuh dalam persiapan bersama pasukan sebelum bertemu Penang.

Jelas beliau, pasukan kini dalam misi untuk terus memburu kemenangan penting kerana ingin mengekalkan momentum positif dalam persaingan Liga Super dengan terbaharu Kedah berjaya melonjakkan diri di tangga kedua.

“Kami perlu terus kekal fokus disamping memastikan tidak mengulangi kesilapan bertemu Penang FC kerana kami tidak mahu kecewa buat kali kedua di laman sendiri.

“Penang FC adalah satu pasukan bagus dan mereka dibarisi pemain berpengalaman yang dapat memberi saingan sengit dan saya tetap menganggap mereka bukan lawan mudah.

“Oleh itu, untuk kekal berada di kelompok atas liga, kami tidak boleh keciciran mata dan bagi pasukan Kedah, tiada istilah kalah kerana kami perlu menang setiap perlawanan dengan bergaya”, katanya menerusi Harian Metro.

Untuk rekod, Kedah hanya mencatat satu sahaja kekalahan musim ini dalam carta Liga Super, dan kini mereka berada di tangga kedua bagi menggantikan Sabah yang ditewaskan oleh Johor Darul Ta’zim (JDT).

Manakala Penang yang menjalani rombakan pula tampil dengan barisan pemain baharu untuk slot tempatan serta import dan berjaya meraih kemenangan sulung dalam aksi Liga ketika menewaskan Perak.

Ketika ini mereka berada di tangga sembilan Liga Super hasil satu kemenangan dan dua seri bagi meraih lima mata daripada enam perlawanan dilalui pasukan tersebut.

‘Derbi utara’ yang bakal berlangsung malam ini sekali lagi bakal menjadi tumpuan penuh para penyokong untuk melihat aksi sengit ditampilkan kedua pasukan sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung.

Kedah yang berjaya mengikat Sri Pahang ketika aksi di Stadium Daruk Makmur lalu, sekali lagi dilihat sebagai pilihan utama untuk mencatat kemenangan berharga di laman sendiri.

Walaupun begitu, Penang mungkin bakal membuat kejutan sekali lagi untuk mengetepikan cabaran Kedah di Alor Setar menerusi kemenangan kedua yang diburu pasukan tersebut.

Sumber:
Harian Metro

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN