Jurulatih berpengalaman dari Indonesia, Rahmad Darmawan membuat keputusan untuk meletakkan jawatan setelah pasukan T-Team FC dijenamakan semula sebagai Terengganu Football Club 2 (TFC2) yang disahkan bakal bermain pada saingan Liga Perdana pada musim depan.
Beliau berkata, keputusan untuk meninggalkan T-Team diambil selepas mengadakan pertemuan empat mata dengan Timbalan Presiden 1 Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Wan Nawawi Wan Ismail.
“Pada pertemuan itu, PBSNT telah menawarkan saya kontrak untuk membimbing TFC2 tetapi saya dengan berat hati terpaksa menolaknya.
“Saya lebih gemar akan cabaran dan masih belum bersedia untuk melatih pasukan yang dijadikan feeder club (kelab pelapis),” katanya kepada Kosmo.
Kelmarin, PBSNT dalam kongres tahunannya telah meluluskan pelan penstrukturan semula semua pasukan bola sepak Terengganu dengan menggunapakai sistem feeder yang mengandungi lima pasukan.
Pasukan Terengganu (TFC 1) akan menjadi pasukan utama yang akan beraksi pada saingan Liga Super manakala empat pasukan pelapis lain masing-masing akan bermain pada saingan liga bawahan.
Semua pasukan bola dijenamakan menjadi Pasukan Terengganu I (Liga Super-Parent Club), Pasukan Terengganu 2 (Liga Premier-Feeder Club), Pasukan Terengganu 3 (Piala Presiden-B21), Pasukan Terengganu 4(Piala Belia-B19) dan, Pasukan Terengganu 5 (Piala KMP-B17).#TerengganuMolekDoh pic.twitter.com/u3Kg1RmIt1
— Ahmad Razif Abd Rahman (@YBAhmadRazif) November 21, 2017
Ketika ditanya oleh pihak media mengenai hala tujunya selepas ini, Rahmad berkata dia akan pulang ke negara asalnya selepas menerima tiga tawaran daripada kelab yang beraksi dalam Liga Indonesia.
“Saya akan pulang untuk mengadakan perbincangan dengan pasukan dari kelab Indonesia dan akan membuat keputusan segera pasukan mana dipilih sebelum berangkat menunaikan umrah minggu depan,” katanya.