Tak Adil Untuk Salahkan MFL Saja Atas Kegagalan Harimau Malaya

Harimau Malaya

Beberapa pasukan Liga Malaysia menganggap tidak adil untuk menyalahkan Malaysian Football League (MFL) atas prestasi skuad Harimau Malaya kerana perlu melihat kekangan yang dihadapi dalam memastikan Liga Malaysia 2021 dapat dijalankan.

Prestasi skuad kebangsaan menjadi sebutan hangat ketika ini selepas aksi mereka di pentas Piala AFF 2020 tempoh hari di mana ada pihak menyalahkan MFL atas jadual liga yang tidak teratur menyebabkan persediaan pasukan terjejas.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pahang, Datuk Suffian Awang, beliau tidak menolak jadual liga sememangnya padat tetapi MFL telah berusaha menganjurkan saingan Liga Malaysia musim ini biarpun dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat dalam masa sama menjaga kepentingan kelab-kelab tempatan serta penaja-penaja.

Bahkan, beliau menyifatkan banyak faktor yang perlu dilihat di sebalik jadual yang padat itu termasuklah tempoh kuarantin yang perlu dilalui pasukan sekiranya positif COVID-19.

“Kita nak menyalahkan MFL secara keseluruhan juga tidak adil sebab sekarang ini adalah musim pandemik, sangat mencabar.

“Saya tak nafikan jadual memang padat, tetapi kita tidak boleh nak menunding jari kepada MFL semata-mata sebab kita kena lihat juga faktor yang menjadikan jadual sebegitu dan sebab itu saya kata MFL tidak boleh disalahkan 100 peratus.

“Pada saya, ini bukanlah masanya untuk kita menyalahkan mana-mana pihak, tetapi kena sama-sama mencari solusi dan rasanya tidak patut meletakkan jadual tempatan sebagai punca utama,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu, Ab Rasid Jusoh turut senada apabila menganggap setiap negara mempunyai peraturan yang berbeza di mana beliau percaya MFL tidak terkecuali berdepan saranan yang ketat dalam memastikan Liga Malaysia tetap berjalan pada musim ini.

Justeru, adalah tidak adil untuk membandingkan kaedah yang dilakukan dalam penjadualan liga di Malaysia dengan negara-negara lain.

“Bagi saya, kita boleh lihat bagaimana MFL berdepan cabaran untuk mengatur jadual dan kita kena tengok juga kekangan yang ada untuk memastikan seiring dengan peraturan kerajaan.

“Saranan daripada kerajaan kita tidak boleh sewenang-wenangnya ambil mudah dan untuk itu, banyak faktor yang berlaku sebelum saingan liga tetap berjalan sehingga habis musim.

“Cuma kita harapkan, apa yang berlaku ketika ini perlu dibawa ke hadapan untuk semua pihak sama-sama bersedia dengan perancangan lebih rapi selepas dua musim yang begitu mencabar,” katanya.

Terdahulu, pasukan kebangsaan gagal mara ke separuh akhir apabila menamatkan saingan peringkat Kumpulan B Piala AFF 2020 di kedudukan ketiga dengan mengumpul enam mata sekali gus menerima pelbagai kritikan dengan ramai pihak menyalahkan jadual Liga Malaysia sebagai punca utama kegagalan skuad kendalian Tan Cheng Hoe ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN