“Layak Final AFF, Dah Macam Menang Piala Dunia” – Penyampai TV Dikecam Kerana Label Garuda ‘Overatted’

Pada ketika kebanyakkan penyokong bola sepak Indonesia sedang meraikan kejayaan skuad kebangsaan mereka mara ke perlawanan akhir Piala AFF, seorang penyampai TV di negara tersebut menjadi tumpuan dan dituduh mencaci pasukan negaranya hanya kerana tidak mempunyai pendapat yang sama.

Tidak seperti rata-rata penyokong Indonesia yang bangga akan kejayaan skuad Garuda menewaskan Singapura di separuh akhir, Ardes Goenawan mempunyai pendapat beliau tersendiri mengenai kemenangan tersebut.

Malah Arders Goenawan turut membidas pasukan negaranya yang disifatkan sebagai ‘banyak gaya’ atau lebih pada gaya dan provokatif dalam permainan.

Indonesia belum matang

Arders turut menyifatkan Indonesia belum lagi matang di dalam bola sepak, apabila nyaris tewas dalam aksi separuh akhir menentang Singapura baru-baru ini, tetapi seluruh negara meraikannya seperti sudah menang Piala Dunia.

Mungkin kerana itulah Ardes berpendapat skuad kendalian Shin Tae-yong sebenarnya bernasib baik dapat mara sejauh ini, dan realiti sebenar bola sepak Indonesia masih jauh daripada apa yang diharapkan.

“Masuk final AFF gembiranya serasa [seperti] pahlawan legenda juara Piala Dunia,” tulis Ardes Goenawan di Instagram Story.

“Banyak gaya dan provokatif. Intinya, OVER-RATED. No offense, tapi ini adalah salah satu dari sedikit indikator bahwa Indonesia masih belum matang di cabang [bidang] sepak bola,” tulis beliau.

Thailand lebih layak

Penyampai TV dan pengacara terkenal di Indonesia ini juga berpendapat Thailand dan Vietnam mempunyai corak permainan yang lebih baik dan berhak memang perlawanan akhir Piala AFF nanti.

Seperti dijangka, perkongsian oleh Arders Goenawan telah mendapat pelbagai kritikan daripada penyokong skuad Garuda di media sosial. Tetapi selebriti itu tetap teguh dengan pendirian beliau. Tidak kurang juga pihak yang mempersoalkan jati diri beliau hanya kerana mempunyai pendapat yang berbeza.

“Saya menghargai kerja keras jurulatih dan pemain muda Indonesia, tetapi saya berharap tidak juga muncul juara,” tulis beliau lagi.

“[Cuma] aneh sekali pasukan [Indonesia] hampir kalah kepada 9 pemain boleh menjadi juara? Semoga Thailand dan Vietnam sahaja yang juara.

“And please, tidak payah kaitkan bola sepak dengan [semangat] nasionalisme. Tidak ada kaitannya. Saya menyokong Singapura dan Thailand, tidak bererti saya tidak cintakan negara.

“Alasannya? Yah, rumit…serumit mengorek hati seorang wanita,” tambahnya lagi.

Finalis kali keenam

Untuk rekod, Indonesia juga belum pernah menjuarai Piala AFF sejak pertandingan tersebut diperkenalkan pada 1996. Sebelum ini Indonesia pernah mara ke perlawanan akhir sebanyak lima kali, namun belum satu pun yang berjaya membuahkan hasil.

Mara ke perlawanan akhir buat kali keenam, Thailand sekali lagi menjadi halangan Indonsia. Daripada lima penampilan di peringkat akhir sebelum ini, skuad Garuda dikecewakan oleh lawan yang sama sebanyak tiga kali, iaitu pada 2000, 2002, dan 2016.

Mampukah anak buah Shin Tae-yong menafikan kritikan Ardes Goenawan pada edisi kali ini? Atau benarkah teori penyampai TV itu Indonesia hanya sekadar menang gaya dan provokasi?

Leave a Reply