Penjaga gol berkualiti negara, Ahmad Syihan Hazmi menjadi salah satu pemain yang paling mencuri tumpuan ketika ini selepas aksinya bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) jelas sangat positif.
Menerusi ketangkasan yang dipamerkan oleh Syihan di hadapan gol, pemain tersebut hanya melepaskan satu jaringan ketika mereka bertemu Kelantan dan baki 12 perlawanan lagi kekal tanpa bolos.
“Kena Sentiasa Fokus”- Syihan Hazmi Dedah Latihan Bersama JDT Sangat Berbezahttps://t.co/gRnXam1aQc
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) June 5, 2023
Selain konsisten bersama JDT, Syihan juga merupakan pemain pilihan utama kepada skuad kebangsaan bawah kendalian Kim Pan-gon sejak musim lalu dalam beberapa perlawanan.
Malah, Syihan menjadi pemain muda baharu yang menamatkan dominasi Farizal Marlias bagi posisi penjaga gol nombor satu negara bersama persembahan cukup cemerlang ketika dibawa turun beraksi.
Pertengahan bulan ini, Harimau Malaya bakal melayan kunjungan dua negara untuk aksi persahabatan antarabangsa mengikut kalendar rasmi Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) di Terengganu.
Jika dilihat pada prestasi semasa, hanya Syihan menunjukkan momentum positif dan berkemungkinan besar sekali lagi menjadi pertaruhan utama Kim selaku penjaga gol skuad kebangsaan.
Walaupun sudah hampir pasti terpilih untuk menghuni kesebelasan utama sebagai penjaga gol kebangsaan, Syihan masih lagi merendah diri dengan menyatakan akan beraksi sehabis baik jika dipilih oleh Kim.
“InshaAllah jika saya terpilih ke skuad kebangsaan, saya akan berikan yang terbaik,” katanya menerusi laporan dikeluarkan oleh Harian Metro mengenai pemain tersebut.
Untuk rekod, Malaysia bakal berdepan dua negara pada pertengahan bulan ini iaitu Kepulauan Solomon serta Papua New Guinea pada 14 serta 12 Jun bertempat di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA).
Kim pastinya ingin menggunakan kesempatan dua aksi ini untuk menguji kekuatan semasa para pemain yang dipanggil sebelum mereka beraksi di pentas Piala Asia 2023.
Aksi ‘Spiderman’ Syihan Hazmi Jadi Faktor Kemenangan Malaysia Atasi Turkmenistanhttps://t.co/phMDcOoNsG
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) March 23, 2023
Selain memfokuskan skuad semasa, pengendali itu juga dijangka akan menurunkan beberapa muka baharu yang dirasakan layak untuk bermain bersama skuad kebangsaan.
Pada masa sama, Syihan mengaku tidak mengetahui kekuatan semasa dua pasukan lawan yang bakal dihadapi skuad kebangsaan tidak lama lagi.
Apapun, penjaga gol tinggi lampai itu tetap berharap supaya barisan pemain lain tetap sedia daripada segi persiapan mental serya fizikal untuk menghadapi pasukan lawan.
“Meskipun kita tidak mengetahui banyak tentang pasukan lawan kali ini, tetapi sebagai pemain siapa pun kami berjumpa kami kena hadapi dan bersedia dari sudut mental dan fizikal. Jika ada rezeki kita akan berjaya,” katanya lagi.