Isu Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) terus menjadi perbualan hangat dalam kalangan pemerhati bola sepak di tanah air sejak skuad bawah 16 tahun negara gagal menempah tiket beraksi di Piala Dunia di Peru tahun depan.
Terbaharu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak teragak-agak untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika wujud unsur rasuah dan penyelewengan dalam pelaksanaan dalam Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).
Difahamkan wujud unsur ketirisan membabitkan kontraktor yang dilantik dengan kos RM85 juta bagi membangunkan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang, Pahang.
“Saya sendiri akan nilai dan lihat, kalau perlu pengauditan kita kena buat dan kalau perlu siasatan kita akan maklumkan kepada SPRM,” kata Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq Abdul Rahman seperti dipetik dalam Berita Harian.
Beliau berkata demikian pada sesi dialog ‘Townhall’ NFDP bersama para penyokong bola sepak tanah air di Majlis Sukan Negara (MSN), malam tadi.
#Sukan
Beginilah keadaan Akademi Mokhtar Dahari @nfdpmalaysia di Gambang, Pahang yang bernilai RM85 juta. Belum mencecah usia 2 tahun, dah ada banyak kerosakan 😕@SyedSaddiq @NewsMPB @FAM_Malaysia @SafirulAbuBakar @MSNMALAYSIA pic.twitter.com/NtlNLG7Qbo— Hazreen Mubarak (@hazreenmubarak) October 4, 2018
“Saya serius dalam perkara ini kerana apabila saya bertemu Lim Teong Kim (Pengarah AMD), dia kata benda sama iaitu (pusat latihan) perlukan penambahbaikan, bila jumpa barisan kejurulatihan pun mereka luahkan perkara sama.
“Ketika kita melihat AMD sebagai pusat latihan terbaik yang setaraf dengan akademi Bayern Munich, Jepun dan Korea Selatan, tetapi pada masa sama perkara asas masih belum mencukupi.
YB @SyedSaddiq menerangkan bhw di AMD tidak ada nutrionist, tak ada kepakaran sains sukan diberi kpd pemain pemain tetapi hampir RM85juta dibelanjakan! Allowance jurulatih RM500 ringgit tidak dibayar utk beberapa bulan! pic.twitter.com/Th0bNOz1rf
— Christopher Raj 🇲🇾 (@chrisraj23) October 4, 2018
“Kita sibuk membincangkan isu yang besar, tetapi perkara asas seperti bola pun tak cukup walaupun dah dijanjikan sebelum ini.
“Perkara ini perlu diselesaikan dahulu kerana jika tidak diselesaikan, kita campak duit banyak mana pun ia tak akan pergi jauh, integriti adalah nombor satu,” katanya.
Syed Saddiq turut mendedahkan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) masih mempunyai banyak kekurangan dari segi kemudahan asas untuk para jurulatih dan pemain.
“Kemudahan lain seperti televisyen dan internet pun tiada, aspek pemakanan juga tidak disediakan dengan baik. Malah saya difahamkan pegawai fisioterapi pun tiada.
“Saya sudah bincang dengan ISN (Institut Sukan Negara) dan mereka akan beri panduan sepenuhnya selepas ini. Tapi pada masa sama masalah yang dihadapi adalah tempat untuk menempatkan pegawai ini kerana kira-kira enam pegawai ISN akan diletakkan di AMD selepas ini.
“Takkanlah tiada tempat untuk pegawai ISN di sana. Perkara ini akan saya siasat hingga ke lubang cacing, RM85 juta sudah dibelanjakan, ini bukan duit tahunan, ini untuk membangunkan tempat berkenaan,” katanya.