Quantcast

BERITA

Nike Pantau Kes Rogol Babitkan Cristiano Ronaldo

Syarikat pengeluar barangan sukan terkemuka, Nike berkata mereka kini sedang memantau situasi kes rogol membabitkan bintang Portugal dan Juventus, Cristiano Ronaldo.

Nike dilaporkan mempunyai kontrak bernilai USD 1 billion dengan Ronaldo, dan berkata akan mengikuti perkembangan terkini kes berkenaan membabitkan pemain itu.

EA Sports yang turut mempunyai kontrak tajaan bersama Ronaldo turut mengeluarkan kenyataan yang sama dengan Nike.

Ronaldo sebelum ini menafikan telah merogol seorang wanita yang dikenali sebagai Kathryn Mayorga di sebuah hotel di Las Vegas pada 2009.

Mayorga yang kini berusia 34 tahun adalah seorang guru, dan baru-baru ini berani menampilkan dengan pendedahan tersebut selepas mengikuti satu sesi kaunseling anjuran NGO yang dinamakan #MeToo.

MOSCOW, RUSSIA – A billboard shows Portugal’s Cristiano Ronaldo advertising Nike sportswear in the Moscow suburb of Timiryazevskaya during the World Cup on June 16, 2018 in Moscow, Russia. (Photo by Christopher Furlong/Getty Images)

“Gerakan Me Too dan tindakan beberapa wanita lain yang juga mangsa rogol berani tampil mengenai kejadian menimpa mereka telah memberikan Kathryn [Mayorga] dorongan untuk melakukan perkara yang sama,” ujar Leslie Stovall yang juga merupakan peguam kepada mangsa.

Dalam kenyataan yang berasingan, Nike dipetik sebagai berkata:

“Kami terganggu dengan dakwaan sebegini dan akan terus memantau perkembangan kes dari semasa ke semasa.”

Manakala EA Sports dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh AP berkata:

“Kita semua telah melihat laporan disiarkan oleh media mengenai Cristiano Ronaldo.

“Kami sedang memantau perkara ini dengan rapat, dan kami mahukan setiap duta produk dan atlet yang mempunyai kontrak dengan kami bersikap sepertimana yang sepatutnya berdasarkan nilai yang ditekankan oleh EA.”

Dalam perkembangan lain, Juventus tampil mempertahankan pemain yang baru menyertai mereka pada musim panas lalu itu.

Melalui akaun twitter rasmi kelab, Juventus berkata:

“Cristiano Ronaldo menampilkan sikap profesional dan kesungguhan yang tinggi sejak tiba di sini beberapa bulan yang lalu. Ia amat dihargai oleh setiap individu di Juventus.”

Dalam perkembangan lain jurulatih Portugal, Fernando Santos mengesahkan kapten pasukannya itu akan direhatkan untuk perlawanan antarabangsa seterusnya.

Ini bermakna Ronaldo akan terlepas perlawanan membabitkan Poland dan Scotland bermula minggu hadapan, dan turut tidak menyertai skuad Portugal untuk perlawanan antarabangsa pada November hadapan.

Santos bagaimanapun enggan mendedahkan perbincangan beliau dengan pemain tersebut.