Syed Saddiq Kecewa Kelemahan Penyelenggaraan & Kemudahan Di AMD

AMD

Selepas mendengar sendiri rintihan oleh segelintir ibu bapa pelatih yang sempat hadir ke program NFDP Townhall yang diadakan di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil pada malam tadi, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman turun sendiri ke Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang terletak di Gambang untuk melihat sendiri keadaan sebenar.

Kesempatan itu bukan sekadar untuk digunakan oleh Syed Saddiq untuk meninjau kemudahan yang dikatakan khusus untuk menghasilkan pemain bola sepak bertaraf dunia untuk negara.

Menteri di Kemeneterian Belia dan Sukan (KBS) itu turut mengambil kesempatan tersebut untuk bertemu sendiri dengan para pelatih dan jurulatih yang berada di akademi tersebut.


Hasil lawatan, Syed Saddiq jelas menyatakan kekecewaan dengan apa yang beliau lihat. Beliau turut mendedahkan beberapa kelemahan yang terdapat di AMD selama ini, yang tidak diketahui umum.

Di dalam tempoh 6 bulan sebelum ini sahaja, terdapat 700 kerosakan dilaporkan, namun hanya 83 daripada laporan tersebut telah diselesaikan oleh pihak kontraktor terbabit.

Antara perkara pertama yang didedahkan oleh Syed Saddiq ialah mengenai kemudahan untuk kegunaan kakitangan dan pelatih di akademi berkenaan.

Kakitangan AMD dikatakan terpaksa menggunakan komputer riba sendiri untuk melakukan tugas, terutama untuk menganalisa perlawanan.


Tiada ada kemudahan internet dan wifi juga disediakan di pusat terbabit. Kakitangan dan pelatih dikatakan terpaksa keluar dari bilik menuju ke anak tangga untuk mendapatkan liputan.

Anehnya juga, bilik-bilik khas yang sepatutnya dijadikan kelas untuk pelatih tidak memiliki kemudahan perabot yang secukupnya.

Hanya dua daripada kelas tersebut memiliki kerusi dan meja, manakala selebihnya tidak digunakan kerana bilik-bilik tersebut kosong.

Beberapa kawasan di dalam premis AMD tersebut basah akibat atap yang bocor, termasuk dewan makan disebabkan rekabentuk yang kurang sesuai.

Keadaan padang juga menyedihkan, dan akan digenangi air setiap kali hujan. Jelas sekali kemudahan di AMD selama ini bagaikan indah khabar dari rupa.


Kemudahan gimnasium juga tidak ada di AMD, walaupun mempunyai ruangan khas untuk menempatkan peralatan senaman. Berdasarkan video yang dikongsi oleh Syed Saddiq, tiada satu pun peralatan senaman disediakan di ruangan gimnasium tersebut.

Bilik persalinan pemain juga tidak selesa akibat daripada masalah pengudaraan dan ruangan yang sempit.

Pelatih turut sempat meluahkan rasa tidak selesa mereka dengan keadaan asrama yang panas, dan kurang kemudahan lain seperti kipas siling.


Makanan juga hanya dijadualkan dua kali sehari untuk pelatih di AMD. Makan tengah hari dikatakan diambil SSM Pahang Pelatih kemudiannya terpaksa berjalan kaki balik ke AMD.

Ada di antara mereka terpaksa menyeludup sendiri makanan kerana tidak mendapat makanan yang secukupnya.

Kemudahan hydrotherapy di AMD turut tidak boleh digunakan akibat kebocoran, dan tiada penyelenggaraan susulan dilakukan.


Pendedahan oleh Syed Saddiq ini hanya menimbulkan lebih banyak tanda tanya kepada kita semua.

Apa sebenarnya yang berlaku di AMD di dalam tempoh 4 tahun ini? Adakah kita benar-benar serius membangunkan bakat muda bola sepak untuk negara.

Melalui laman twitter beliau, Syed Saddiq turut berjanji akan menyelesaikan masalah ini secepat mungkin.

Demikianlah kita harapkan. Atau AMD hanya akan menjadi ‘indah khabar dari rupa’. Dan cita-cita kita untuk melihat bola sepak negara akan selamanya seperti mimpi di siang hari.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN