Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dipinjamkan ke kelab Portugal, Vilaverdense FC, Syamer Kutty Abba dan Dominic Tan akhirnya telah diberikan peluang beraksi baru-baru ini.
Syamer dan Dominic telah diturunkan dalam kesebelasan utama Vilaverdense FC untuk aksi terakhir liga menentang pasukan pertengahan liga, AD Oliveirense.
Biarpun tewas tipis 0-1 kepada lawan dalam aksi tersebut, Vilaverdense FC teleh lebih awal mengesahkan kedudukan kedua Serie A, divisyen 3, di belakang FC Vizela.
Kini mereka dalam pemburuan dua slot automatik untuk layak ke divisyen 2 dan akan bersaing di pusingan playoff yang melibatkan 8 pasukan terbaik divisyen 3 musim ini.
“Jurulatih mengatakan bahawa saya dan Dominic telah bermain dengan baik walaupun kami gagal memberi keputusan yang baik kepada pasukan,” ujar Syamer ketika dihubungi Semuanya BOLA baru-baru ini.
Ketika ditanya mengenai arahan atau pesanan ketua jurulatih pasukan kepadanya, dia menyatakan bahawa mereka hanya mengarahkannya untuk mempamerkan aksi terbaik.
“Jurulatih hanya suruh beri yang terbaik dan mengikut arahan taktikal yang telah diajar,” jelas Syamer yang turut menyatakan dia bukan hanya beraksi di bahagian tengah.
Barisan kejurulatihan kelab juga banyak menukar dan mencuba posisi buatnya sepanjang latihan dan perlawanan tersebut. Walaupun tanpa tekanan, Syamer tetap berasa gugup.
“Saya begitu teruja kerana telah menunggu peluang ini hampir 4 bulan dan semestinya saya berasa sedikit gugup kerana sudah lama tidak dapat bermain.
“Tapi, alhamdulillah semuanya berjalan lancar,” ulas Syamer lagi sambil menyatakan dia dan Dominic sudah mula menyesuaikan diri dengan persekitaran di bandar Vila Verde.
“Yang mudah-mudah (bahasa) saya dah boleh faham,” ujar Syamer apabila ditanyakan mengenai proses penyesuaian dirinya di Portugal sehingga kini.
Semuanya BOLA turut bertanyakan mengenai perbezaan antara aksi pertamanya bersama Pulau Pinang dan juga Vilaverdense FC. Bagi dirinya, tiada banyak perbezaan.
“Tetapi di Pulau Pinang, saya merasa lebih teruja kerana saya bermain untuk tempat kelahiran saya dan ia juga merupakan impian saya dari kecil,” tambahnya lagi.
Menurut Syamer, selain Dominic, dia kini berkongsi rumah bersama dua lagi pemain import kelab tersebut iaitu Ahmed Isaiah dari Nigeria dan Latyr Fall dari Senegal.
Dan disebabkan telah tinggal dan selalu bersama, kini mereka semua menjadi kawan rapat di kelab tersebut. Dan pastinya bahasa pengantarnya adalah Inggeris.
“Saya harap ini bukanlah kali pertama dan kali terakhir saya akan beraksi bersama pasukan.
“Jadi saya bertekad untuk membuktikan sesuatu jika sekali lagi diberi peluang khususnya untuk perlawanan playoff selepas ini,” ujanya sebelum menutup bicara.