EKSKLUSIF: Syamer Kutty Abba Mula Sesuaikan Diri Di Vilaverdense FC

Selepas dua minggu Syamer Kutty Abba dan Dominic Tan memijakkan kaki di bumi Portugal, mereka kini kian menyesuaikan diri dengan persekitaran kelab tersebut.

Walaupun ianya bukan kelab ternama dan beraksi di divisyen tiga, Vilaverdense FC dirasakan mampu memberikan cabaran dan pengalaman yang sesuai buat pemain dari negara kita.

Johor Darul Ta’zim (JDT) telah meminjamkan kedua-dua pemain tersebut ke kelab tersebut untuk tempoh semusim bermula pada penghujung Januari yang lalu.

Semuanya BOLA akhirnya berjaya menghubungi Syamer Kutty Abba untuk mendapatkan sedikit maklumat dan berkongsi pengalaman yang mereka telah lalui setakat ini.

Vilaverdense FC

Vilaverdense FC adalah kelab yang berpengkalan di daerah Braga di bandar Vila Verde. Semakan mendapati jumlah populasi bandar tersebut setakat 2011 adalah 47,888.

Ianya hampir bersamaan dengan populasi penduduk di Kangar, Perlis. Suasana dan persekitaran bandar tersebut juga tidak banyak jauh berbeza dengan persekitaran di Malaysia.

Stadium kelab Vilaverdense FC, Municipal Stadium de Vila Verde.

Kelab tersebut memiliki stadium yang mampu memuatkan sehingga 5000 penonton. Dan mereka bersaing dalam divisyen tiga yang melibatkan 80 pasukan, dipecahkan kepada lima kumpulan.

Vilaverdense FC konsisten beraksi di divisyen 3 sejak ianya diperkenalkan bermula pada musim 2013-14. Mereka belum pernah diturunkan pangkat ke liga daerah lagi.

Beraksi dalam Kumpulan A, Vilaverdense FC kini berada pada kedudukan ketiga daripada 16 pasukan dan hanya dipisahkan satu mata dengan pasukan di kedudukan kedua, Merelinense FC.

Apa beza Vilaverdense FC dengan SC Beira Mar dan Atlético SC?

Syamer dan Dominic bukanlah pemain pertama negara yang beraksi di Portugal. Sebelum ini, Nazmi Faiz Mansor dan Ahmad Fakri Saarani telah menjejakkan kaki di sana terlebih dahulu.

Pada 2012, Nazmi Faiz telah menyertai kelab liga utama Portugal, SC Beira Mar dengan kontrak 3 tahun tetapi hanya mampu bertahan sehingga enam bulan sahaja.

Antara aksi Nazmi Faiz ketika bersama Beira Mar. Foto: Goal

Sementara itu, Fakri Saarani pula telah berpeluang beraksi bersama Atlético SC pada awal tahun 2013 dengan kontrak enam bulan. Ketika itu, Atlético SC beraksi di divisyen 3.

Tiada perbezaan ketara kerana boleh dikatakan kelab-kelab di Portugal adalah profesional. Secara kasarnya, yang membezakan kelab-kelab tersebut adalah tahap liga yang disertai.

Sedikit perbezaan, peluang Nazmi Faiz sebenarnya lebih besar kerana pada ketika itu SC Beira Mar bertanding di liga utama berbanding situasi Syamer dan Dominic pada ketika ini.

Untuk musim ini, SC Beira Mar dan Atlético SC berada di hierarki liga paling bawah di Portugal yang dipecahkan mengikut daerah, atau dalam bahasa mudahnya beraksi di liga daerah.

Sambutan dan cabaran di Portugal

Menurut Syamer, kehadiran mereka berdua telah disambut baik oleh pihak pengurusan kelab dan turut diberikan sokongan sebaik sahaja selepas ketibaan mereka.

“Alhamdulillah, pihak kelab beri sokongan yang sangat baik,” jawab Syamer ringkas mengenai reaksinya terhadap sambutan Vilaverdense FC kepada mereka.

Padang di Municipal Stadium de Vila Verde. Foto: Vila Verde Blogspot.

Yang menjadi cabaran terbesar buat kedua-dua anak muda negara pada ketika ini adalah keadaan cuaca, cara untuk berinteraksi dan bahasa serta makanan harian.

“Memang ada banyak cabaran dari segi pemakanan, cuaca dan hendak sesuaikan diri dengan persekitaran baru tetapi alhamdulillah, saya perlahan-lahan sedang menyesuaikan diri.

“Ketika ini cuaca agak sejuk kerana kami duduk di kawasan pendalaman,” tambahnya lagi apabila Semuanya BOLA bertanya tentang cuaca di bandar Vila Verde.

Aksi Syamer Kutty Abba ketika latihan. Foto: FB Vilaverdense Futebol Clube.

Syamer menjelaskan mereka berdua telah ditempatkan oleh pihak pengurusan kelab di akademi untuk penginapan dan lokasinya agak jauh di pendalaman.

Syamer menyatakan lokasi akademi tempat mereka ditempatkan adalah berdekatan dengan pusat latihan dan stadium yang terletak sedikit di pendalaman.

Dan menurut Syamer lagi, mereka berdua akan menyewa teksi untuk pergi ke mana-mana kerana pihak kelab tidak menyediakan pengangkutan kepada mereka.

Latihan di Vilaverdence FC

Kedua-dua pemain muda negara ini dilihat telah mula turun berlatih pada 31 Januari dengan laman rasmi Facebook kelab telah memuat naik gambar kedua-dua mereka di padang latihan.

Semuanya BOLA turut bertanya kepada Syamer tentang perbezaan latihan yang diterapkan di kelab tersebut dengan pasukannya sebelum ini, Pulau Pinang.

“Perbezaannya ialah mereka selalu menitikberatkan tentang latihan taktikal dan high intensity training,” ujar pemain yang akan menginjak ke usia 21 tahun itu.

Aksi Dominic Tan ketika latihan. Foto: FB Vilaverdense Futebol Clube.

Ketika ditanya mengenai cara komunikasi ketika latihan, Syamer memaklumkan, mereka hanya dapat berinteraksi dengan jurulatih dengan menggunakan bahasa Inggeris.

“Kami menghadapi sedikit kesusahan tetapi mujurlah ada jurulatih selalu datang menerangkan kepada kami,” jelasnya mengenai kaedah yang digunakan untuk memahami sesuatu perkara.

Vilaverdense FC telah melalui dua perlawanan selepas kehadiran Syamer dan Dominic. Dan mereka berdua belum lagi diturunkan untuk kedua-dua perlawanan tersebut.

“Kami akan diberikan peluang bermain jika kami berlatih bersungguh-sungguh dan keputusan terserah kepada jurulatih di sini,” jelas Syamer.

Penutup

Biarpun fasiliti di Vilaverdense FC tidak segah dengan apa yang ada di JDT, namun perkara paling penting adalah mereka akan terdedah dengan cabaran yang lebih berbeza.

Kini, Syamer dan Dominic perlu gigih berusaha untuk menempatkan diri kerana bakat mereka akan terus berkembang sekiranya mendapat minit perlawanan.

Diharapkan usaha sebegini dapat diteruskan oleh JDT ataupun oleh semua pasukan yang beraksi di Liga Malaysia agar bakat muda negara terus mendapat lebih pendedahan.

Jika tidak mampu menghantar sejauh ke benua Eropah, cukuplah sekadar cuba menghantar mereka ke Thailand, Korea Selatan ataupun Jepun terlebih dahulu.

‘Hendak Seribu Daya, Tak Hendak Seribu Dalih’

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN