Pemain tengah skuad kebangsaan, Syamer Kutty Abba berharap yang para penyokong akan memenuhi Bukit Jalil sebagaimana ketika perlawanan menentang Myanmar tempohari.
Ia adalah motivasi terbaik buat para pemain untuk mendapatkan keputusan yang positif sebelum dijadualkan akan berkunjung ke laman lawan, Stadium Rajamangala pada 5 Disember depan.
“Kita juga mengharapkan penyokong sekali lagi dapat memenuhi stadium seperti ketika berdepan Myanmar bagi menaikkan lagi moral pemain,” ujar Syamer kepada Berita Harian.
https://twitter.com/FOXSportsMY/status/1066339662283730944
Selain itu, Syamer turut menjelaskan tiada istilah badi kekalahan kepada Thailand di dalam kotak fikirannya ketika ini dan mahu rakan-rakan lebih berwaspada ketika berdepan lawan itu nanti.
“Thailand pasukan yang kuat daripada segi teknikal dan taktikal, tapi kita pun ada kekuatan sendiri. Apa yang penting kita perlu gunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.
“Perkara itu (badi kekalahan kepada Thailand) tiada dalam kepala saya kerana kami sentiasa bekerja keras ketika latihan,” ujar pemakai jersi bernombor 14 pasukan kebangsaan itu lagi.
Kali terakhir kedua-dua pasukan bertembung adalah pada edisi 2014, Malaysia tewas dua daripada tiga perlawanan. Ketika di pentas akhir, Malaysia tumbang 0-2 di Stadium Rajamangala.
Malaysia bangkit untuk memenangi semula perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil namun kemenangan 3-2 itu tidak cukup untuk membawa Harimau Malaya menjulang piala di edisi tersebut.
Sementara itu, biarpun dikecam hebat atas prestasi di atas padang dan juga isu ‘pergaduhan’ dengan penyokong, Safawi Rasid tetap menzahirkan ucapan terima kasih kepada para penyokong.
Baginya, faktor penyokong yang hadir memenuhi segenap ruang stadium tempohari sangat penting buat mereka dan mahukan semangat yang sama untuk aksi berdepan Thailand.
“Ini kali pertama saya bermain dalam stadium yang penuh kerana kebiasaannya ia berlangsung di Shah Alam.
“Jadi saya benar-benar ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat yang memenuhi stadium kerana kami memerlukan mereka terutama ketika bermain di gelanggang sendiri.” ujarnya.
Perlawanan Malaysia menentang Myanmar tempohari menyaksikan rekod kehadiran tertinggi di Piala AFF Suzuki 2018 dengan 83,770 penyokong telah turun memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil.