Syamer Kutty Abba: Fasiliti Di JDT Kekalkan Saya Cergas Untuk Skuad Kebangsaan

syamer-kutty-abba-malaysia-2018-aff-suzuki-cup

Pemain tengah skuad kebangsaan, Syamer Kutty Abba mengakui sistem dan kelengkapan latihan di kelabnya, Johor Darul Ta’zim (JDT) banyak membantunya untuk kekal cergas malah dapat beraksi bersama skuad kebangsaan biarpun jarang mendapat tempat dalam kesebelasan utama JDT akhir-akhir ini.

Setakat ini dalam aksi Liga Super untuk musim 2019, Syamer hanya tampil tiga kali dalam kesebelasan utama dan tujuh kali sebagai pemain gantian. Dan untuk Piala Malaysia pula, beliau telah tampil dua kali sebagai pemain gantian – kali terakhir pada 16 Ogos lalu.

Ketika rakan sekelabnya, Ahmad Hazwan Bakri dikritik dek kerana pemilihannya ke dalam skuad kebangsaan biarpun kurang minit permainan, Syamer masih tenang dan menjelaskan yang beliau sentiasa bersedia dan cergas untuk bersama skuad kebangsaan.

Syamer positif dirinya cergas

“Alhamdulillah, sesi latihan yang dijalankan di JDT mempunyai intensiti yang tinggi dan kelengkapan tempat latihan yang sentiasa menyediakan setiap pemain untuk beraksi di tahap yang tinggi.

“Saya juga ada membuat latihan sendiri yang saya lakukan untuk sentiasa kekal cergas sekiranya saya dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan,” tambahnya yang dihubungi Semuanya BOLA.

JDT-midfielder-Syamer-Kutty-Abba
FOTO: Johor Southern Tigers

Untuk memastikan dirinya tidak kehilangan tempat di dalam skuad kebangsaan sememangnya Syamer akan memastikan dirinya kekal cergas biarpun kurang mendapat peluang beraksi bersama JDT disebabkan persaingan sengit dikalangan pemain-pemain.

Persaingan merebut tempat

Dengan kehadiran semula pemain seperti Brendan Gan yang tampil positif dalam aksi antarabangsa pertamanya sejak kali terakhir beraksi tiga tahun lalu, sudah tentu beliau merasakan tekanan persaingan perebutan posisi di jentera tengah.

Begitupun, baginya, ia adalah tekanan yang positif untuk kekal bersaing bagi merebut tempat di dalam skuad kebangsaan disamping memuji kemampuan pemain tengah Perak itu.

“Sepertimana yang kita semua tahu Brendan (Gan) adalah pemain yang bagus,” ujar pemain kelahiran Pulau Pinang ini apabila diajukan mengenai kehadiran semula Brendan Gan.

“Tetapi semua orang mempunyai kualiti masing-masing dan saya sentiasa berikan yang terbaik di dalam latihan untuk perbaiki lagi permainan saya. Persaingan ini adalah sihat dan beri kebaikan kepada saya dan pasukan,” ujar Syamer kepada Semuanya BOLA.

Brendan Gan Malaysia Jordan
FOTO: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

Watak berbeza dengan Brendan Gan

Selain tu, perbezaan watak di dalam padang adalah mungkin satu lagi faktor yang menjadikannya pilihan untuk bersama-sama ke Jakarta biarpun terdapat beberapa pemain tengah turut dibawa.

Ketika ditanyakan apa yang akan ditawarkannya kepada skuad kebangsaan, Syamer menyatakan dia adalah pemain tengah ‘box to box’. Mungkin sama peranan dengan Brendan Gan tetapi kedua-dua pemain miliki pesona peribadi masing-masing.

Disaat Brendan Gan seakan-akan jeneral di dalam padang ketika mengatur asakan dengan lebih fizikal, Syamer pula dilihat tenang mengatur asakan kerana lebih memahami kehendak penyerang disebabkan pernah beraksi sebagai penyerang sebelum ini.

“Saya ialah box to box midfielder dimana saya boleh menyerang dan boleh bertahan. Jika diberi peluang saya akan berikan seratus peratus dan ingin mematangkan permainan perlawanan demi perlawanan,” jelasnya yang kini sudah berusia 21 tahun.

Sudah bersedia beraksi di GBK?

Adakah bersedia untuk beraksi di Gelora Bung Karno? Inilah jawapan Syamer, “Para pemain sudah bersedia dari segi mental. Rata-rata kami sudah biasa beraksi di depan penyokong sebegini. Tiada masalah (menyesuaikan diri) untuk kami dari segi mental.”

Malaysia Kelayakan Piala Dunia 2022 Indonesia
FOTO: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

“Masa depan cerah,” tutur Syamer ketika diminta oleh Semuanya BOLA untuk memberikan tiga perkataan tentang skuad Harimau Malaya di bawah kendalian ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe.

Baginya, pengendali berusia 51 tahun itu telah membawa pasukan dengan baik sepanjang mengambil alih daripada Nelo Vingada sejak Disember 2017 sehingga kini. Skuad kebangsaan telah mencatatkan 12 kemenangan daripada 23 perlawanan sepanjang berada dibawah kendalian Tan Cheng Hoe.

Skuad negara tiba di Jakarta petang semalam dan telah menjalani latihan pertama pada sebelah malam di Padang A, Gelora Bung Karno. Harimau Malaya akan turun menentang Indonesia pada Khamis dan untuk rekod, kali terakhir skuad negara menang di sana adalah pada 2004, hampir 15 tahun lalu.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN