Ketika rakan sepasukannya di Pulau Pinang, Jafri Firdaus Chew dilihat telah memulakan langkah untuk mencari angin baharu pada musim hadapan, Syamer Kutty Abba tampak masih memilih untuk berdiam diri mengenai masa depannya.
Melihatkan Jafri yang telah memilih untuk angkat kaki meninggalkan skuad Pulau Mutiara yang akan beraksi di Liga Premier pada musim hadapan itu, Semuanya BOLA merasakan Syamer akan turut mengikut langkah rakan sepasukannya itu.
“Buat masa sekarang saya tidak membuat sebarang keputusan lagi (mengenai masa depan) kerana saya memberi fokus sepenuhnya untuk aksi pasukan kebangsaan,” ujarnya ketika ditanya mengenai status pasukan yang akan menjadi hala tujunya pada musim hadapan.
Dan dengan masih tidak menerima tawaran untuk kekal bersama Pulau Pinang pada musim hadapan, ia mungkin menandakan karier pemain muda ini bersama negeri kelahirannya bakal berakhir pada penghujung bulan ini.
“Belum ada tawaran lagi,” jawapan ringkas Syamer apabila ditanya Semuanya BOLA mengenai tawaran kontrak baharu kepadanya daripada pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP).
Bekas pemain Harimau Muda C ini pernah menyatakan yang dirinya masih berminat untuk kekal bersama Pulau Pinang, namun dia terlebih dahulu ingin melihat perancangan pengurusan pasukan untuk musim hadapan.
Ketika ditanya mengenai perancangannya untuk musim hadapan, Syamer menjelaskan yang dia ingin memperbaiki dan meningkatkan lagi aksi permainannya, kerana bagi dirinya, masih terdapat banyak kekurangan dan kelemahan dalam permainannya.
“Saya juga ingin mematangkan lagi cara permainan saya dan ingin belajar banyak lagi perkara baru,” tekad pemain tengah yang berusia 20 tahun ini lagi sambil bersyukur kerana telah diberikan peluang oleh jurulatih untuk buktikan sesuatu.
Syamer telah mendapat banyak peluang untuk beraksi ketika Pulau Pinang di bawah kendalian Ashley Westwood dan Zainal Abidin Hassan. Kedua-dua jurulatih tersebut jugalah yang telah memberikan peluang untuk Syamer mengukuhkan posisinya di jentera tengah.
Sebelum ini, Syamer lebih dikenali sebagai penyerang di dalam skuad Harimau Muda C dan Hassan Sazali Waras adalah jurulatih pertama yang telah mengubah posisinya ke bahagian tengah pasukan dan ianya tampak membuahkan hasil buat dirinya.
Mengulas mengenai senarai pemain skuad kebangsaan untuk dua aksi menentang Korea Utara, Syamer menyatakan bahawa ia adalah satu pemilihan pemain yang menarik kerana terdapat lebih ramai pemain muda yang terpilih.
Walaubagaimanapun, menurut Syamer lagi, pemain senior masih mempunyai peranan bersama skuad kebangsaan atas dasar pengalaman mereka, selain boleh memberikan tunjuk ajar kepada pemain-pemain muda seperti dirinya.