Tottenham Hotspur akan beraksi di Wembley buat pertama kali musim ini selepas mereka bermain di tempat lawan dalam perlawanan pertama.
Gelanggang yang dianggap ada badi untuk Spurs pada musim lalu. Kempen Eropah mereka berkubur dengan cara yang sangat di bawah par di stadium ini.
Sebelum musim bermula, Spurs meminta untuk mengecilkan sedikit saiz padang namun dilarang oleh FA. Hari ini, Spurs akan melayan kunjungan pasukan Chelsea yang merupakan juara bertahan dalam pertarungan derbi London.
Sejarah pertembungan
Salah satu detik manis Spurs menentang Chelsea di gelanggang ini adalah pada 2008 apabila mereka menewaskan Chelsea 2-1 dalam perlawanan akhir Piala Liga.
Selepas itu, Spurs bemain di Wembley sebanyak 9 kali dan hanya menang sekali, 7 kali tewas dan sekali seri.
Mauricio Pochettino pantas menolak isu badi stadium Wembley. Bagi Pochettino kegagalan mereka lebih kerana aksi mereka sendiri.
Chelsea hanya tewas 2 kali daripada 17 perlawanan menentang Spurs dalam semua perlawanan domestik, menang 8 kali dan seri 7 kali.
Spurs pula masih belum tewas dalam 13 perlawanan derbi London terakhir di bawah Pochettino dengan menang sebanyak 9 kali dalam pertemuan dengan kelab-kelab London.
Skuad
Spurs pada musim ini hanya membawa masuk Davinson Sanchez dan melepaskan bintang sensasi mereka Kyle Walker. Spurs dalam proses untuk berjimat untuk membantu pembinaan stadium baru mereka.
Namun Pochettino yakin dengan skuad yang ada untuk mengharungi musim ini. Hal ini kerana, pasukan yang sama telah membantu Spurs menamatkan Liga di kedudukan tertinggi dalam sejarah kelab mereka.
Mereka ada rekod 14 rentetan perlawanan tanpa kalah musim lalu, dan bersaing sehingga ke bulan terakhir pesaingan liga.
Untuk pasukan Chelsea pula, mereka pastinya mahu mencari kemenangan pertama musim ini selepas dikejutkan oleh Burnley. Krisis kecederaan pemain seperti Hazard dan Bakayoko sedikit merencatkan pasukan mereka.
Bakayoko walaubagaimanapun dijangka cergas untuk perlawanan ini. Namun masih menunggu sehingga ke saringan akhir. Eden Hazard mungkin masih direhatkan.
Taktikal
Sistem bek bertiga telah banyak membantu Chelsea untuk memperbaiki permulaan yang sederhana mereka musim lalu. Mereka merekodkan 13 perlawanan berturut-turut.
Rentetan kemenangan itu ditamatkan oleh Spurs pada 4 Januari 2017. Musim ini Chelsea dalam proses untuk membina pasukan dengan beberapa pemain baru.
Antaranya ialah Alvaro Morata. Kemasukan Morata dalam perlawanan menentang Burnley amat meyakinkan. Beliau sangat bertenaga dengan menyumbang gol dan bantuan gol.
Namun adakah Morata mampu menepis label sebagai hanya super-sub? Ini kerana Chelsea membawa beliau untuk menjadikan beliau sebagai penyerang utama.
Chelsea masih lagi berusaha memperbaiki bahagian-bahagian tertentu di dalam padang dengan cuba membawa masuk beberapa pemain baru.
Pochettino turut menggunakan sistem bek bertiga untuk memperbaiki aksi mereka musim lalu. Namun mereka kerap berubah di dalam perlawanan.
Aksi cemerlang pemain seperti Dele Alli dan Harry Kane antara resipi utama kejayaan Spurs musim lalu. Musim ini, Pochettino masih mengekalkan sistem yang sama dengan majoriti pemain yang sama musim lalu.
Sebelum wisel
Tanpa ragu, ini adalah perlawanan utama minggu ini dalam EPL. Kedua-dua pasukan ada kemampuan untuk menjadi pemenang.
Pertarungan taktik adalah satu perkara yang lain, bahang derbi pula satu aspek yang lain. Jadi, siapa akan menang dalam perlawanan ini?