Keputusan seri diaantara Chelsea dan Manchester United dalam aksk Premier League (EPL) boleh dikatakan sebagai sumpahan yang berterusan.
Untuk rekod, pertemuan mereka ini adalah kali kelima sejak tahun 2020 dan kesemua pertemuan ini berakhir tidak memihak kepada mana-mana pasukan.
Dalam perlawanan ke-11 liga yang berlangsung di Stamford Bridge, tuan rumah hampir untuk pasti mengutip tiga mata penuh selepas Jorginho mudah menyudahkan sepakan penalti pada minit ke-87.
Jika kemenangan itu memihak kepada mereka, Chelsea akan menjarakkan mata dengan United yang berada di belakang mereka ketika ini.
Namun begitu, pemain tengah United, Casemiro memastikan mereka tidak akan pulang tangan kosong selepas tandukan beliau pada masa kecederaan memastikan Chelsea terpaksa putih mata dengan satu mata.
Biarpun jurulatih silih berganti, taktikal berubah dan bermain di tempat lawan mahupun di tempat sendiri, sumpahan seri diantara dua pasukan terkuat EPL ini masih berlanjutan.
Ada beberapa perkara menarik yang boleh kita lihat seperti sepanjang lima pertemuan mereka, tiga perlawanan terakhir berkesudahan dengan jaringan 1-1 manakala dua perlawanan awal terikat tanpa jaringan.
Sepanjang tiga pertemuan ini, sama ada bermain di halaman sendiri atau tempat lawan, kesemua gol itu terhasil di separuh masa kedua manakala separuh masa pertama tiada jaringan terhasil biarpun peluang terhidang begitu banyak.
Malah, Jorginho juga menjadi individu yang sama menjaringkan gol dalam situasi yang serupa iaitu dari sepakan penalti ketika mereka bertemu di Stamford Bridge pada 20 November 2021.
Biarpun prestasi Red Devils tidak menentu dalam aksi liga sebelum ini, Chelsea masih gagal mengambil kesempatan untuk menundukkan pencabar mereka ini dikala pasukan lain mudah menewaskan United.
Sama ada kedua-dua pasukan ini terlalu kuat sehingga sukar untuk dikalahkan atau mereka lebih berminat untuk seri daripada mencari kemenangan.
Bagi United, setakat ini prestasi mereka di bawah pengendali baharu, Erik ten Hag dilihat begitu konsisten terutama ketika berhadapan dengan pasukan terkuat seperti Arsenal, Manchester City, Tottenham Hotspur, Chelsea dan Liverpool.
Mereka hanya tewas kepada City dan selebihnya Red Devils berjaya mencatat kemenangan dan seri.
Arsenal masih mendahului carta EPL setelah sekian lama tidak berada di atas sambil dikejar oleh juara bertahan, City dan beberapa pasukan lain.
Setiap pasukan masih terbuka peluang untuk layak ke UEFA Champions League (UCL) dan tiada pasukan yang selesa dengan kedudukan mereka ketika ini.
Sebarang keciciran mata pasti akan menggugat peluang untuk ke UCL musim hadapan.
Sama ada Arsenal mampu bertahan sehingga hujung musim atau mereka akan dipintas oleh lawan mereka satu per satu selepas ini.