Skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe telah mula menjalani sesi latihan pertama di Stadium Hang Tuah, Melaka, petang tadi menjelang dua aksi persahabatan antarabangsa bulan ini.
Malaysia dijadualkan akan menentang Sri Lanka di Colombo pada Jumaat ini dan kemudian akan turun menentang Republik Kyrgyz pada 16 Oktober depan di Stadium Hang Jebat, Melaka.
Sesi latihan ini sememangnya dinantikan oleh para penyokong bola sepak tanah air untuk menyaksikan kemunculan pertama pemain sulung naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh.
Walaubagaimanapun, ia tidak menjadi kenyataan apabila kelibat pemain sayap Pahang itu masih tidak kelihatan walaupun rakan sepasukannya, Matthew Davies telah berlatih bersama pasukan.
Menurut Cheng Hoe, masih ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan oleh pihak pengurusan pasukan kebangsaan dan Pahang mengenai pelepasan ‘The Keli Boy’ itu.
Bercakap kepada Berita Harian, Cheng Hoe turut berharap serta yakin yang kehadiran Sumareh nanti akan memperkuatkan jentera serangan skuad Harimau Malaya kendaliannya.
“Dia mampu memperkasakan pasukan ini melalui pengalamannya. Saya akan meletakkan dia di posisi kebiasaan sebelum ini dalam pasukan yang diwakili (Pahang).
“Namun, mungkin ada perubahan posisi buatnya berdasarkan latihan kelak. Gandingannya bersama pemain tempatan termasuk pemain muda diyakini mampu menyerlah,” jelasnya lagi.
Sumareh telah beberapa musim beraksi di Liga Malaysia (Liga M) bersama tiga pasukan iaitu PDRM, seterusnya Perlis dan terkini bersama Pahang dalam saingan unifi Liga Super.
Sebelum ini, Sumareh dipetik berkata kepada Kosmo yang kapten Tok Gajah, Matthew Davies sentiasa membantunya dalam memberi tunjuk ajar dan juga nasihat kepadanya.
“Davies selalu memberi nasihat kepada saya dan sentiasa memberikan tunjuk ajar.
“Dialah orang yang cukup mengambil berat dan sudah pasti kami mahu memberikan persembahan terbaik kepada negara,” ujar pemain kelahiran Gambia itu lagi.
Dalam sesi latihan sulung itu kelihatan ramai pemain muda yang cemerlang bersama skuad B-23 tahun kendalian Datuk Ong Kim Swee antaranya Irfan Zakaria, Adam Nor Azlin dan Haziq Nadzli.
Turut kelihatan dalam sesi latihan, dua bintang sensasi skuad B-19 negara yang kian mendapat tempat dalam skuad kebangsaan iaitu Akhyar Rashid dan juga Nik Akif Syahiran Nik Mat.