Sukan SEA: Main Tak Ada Arah Tuju Punca Malaysia ‘Dipijak’ Thailand 6-2

Skuad futsal lelaki Malaysia jadi lauk selepas dibelasah 6-2 di tangan Thailand dalam aksi perlawanan pertama di pentas Sukan SEA 2021.

Kali terakhir Malaysia bertemu Thailand adalah ketika aksi dalam saingan Piala AFF dengan skuad Harimau Malaya ketika itu tewas 4-2.

Kekalahan di tangan Thailand pada bulan lalu itu menyebabkan skuad negara ‘bungkus’ awal dan tersingkir di peringkat kumpulan.

Pengurus pasukan, Chiew Chun Yong memiliki masa satu bulan untuk memperbaik skuadnya bagi menghadapi Sukan SEA 2021 ini.

Walau bagaimanapun, skuad negara turun seolah-olah mereka langsung tidak mempunyai masa untuk membuat persiapan dan sekadar menjadi hidangan untuk disantap oleh skuad Gajah Perang itu.

Thailand 6-2 Malaysia

Thailand bermula garang dalam perlawanan ini dengan mereka sudah mula bermain tekanan sejak dari sepak mula perlawanan lagi.

Ronnachai Jungwongsuk berjaya merobek gawang gol Malaysia seawal minit pertama permainan selepas beliau cemerlang melepaskan rembatan dari sudut tepi padang.

Thailand kemudiannya memperoleh empat lagi gol hasil jaringan Peerapat Kaewwilai (2), Muhammad Osamanmusa dan satu lagi gol juga menerusi Ronnachai Jungwongsuk.

Aksi babak pertama Malaysia jelas langsung tak melawan dengan Thailand cemerlang mendahului perlawanan dengan keputusan 5-0.

Aksi babak kedua permainan Malaysia nampak mula sedikit teratur dan hasilnya mereka berjaya memperoleh gol pertama menerusi Ekmal Shahrin.

Khairul Effendy Bahrin kemudiannya menjaringkan gol kedua untuk Malaysia namun Peerapat Kaewwilai cemerlang meledak gol ketiga beliau dalam perlawanan ini untuk memastikan Thailand peroleh kemenangan selesa.

Perlawanan tamat dengan Thailand berjaya menewaskan Malaysia dengan keputusan 6-2 dalam aksi perlawanan pertama futsal lelaki di pentas Sukan SEA 2021 ini.

Tak ada corak permainan

Harus diakui yang Malaysia langsung tak ada gameplay dalam perlawanan ini dengan para pemain dilihat seolah-olah tidak tahu apa yang perlu dilakukan.

Para pemain terlalu lambat membuat keputusan tidak kira ketika bertahan mahupun ketika mahu melancarkan serangan.

Ketika mendapat bola, mereka seolah-olah bingung mahu lakukan apa dengan bola tersebut dan tak tahu kemana mahu di arahkan bola tersebut.

Kedudukan pemain juga sangat huru-hara dengan pemain Thailand beberapa kali berjaya bergerak bebas tanpa dikawal.

Penjaga gol juga beberapa kali keluar dari kawasan dan kemudian diarahkan untuk kembali ke gawangnya semula.

Jadi jelas sekali yang skuad Malaysia memang tak ada perancangan, tak ada corak permainan, tak ada taktikal dan mereka sekadar bermain tanpa arah tuju.

Terlalu mudah hilang bola

Perkara paling mengecewakan dari perlawanan ini adalah ketika melihat pemain Malaysia terlalu murah hati memberi bola ke kaki pemain lawan.

Seolah-olah mereka sedang dipukau, para pemain menghantar bola ke kaki lawan dengan sangat cantik seperti mereka sedang membuat hantaran kepada rakan sepasukan sendiri.

Bukan sekali dua, tetapi kesilapan sama berulang berkali-kali dan ia sememangnya satu hal yang sangat-sangat mendukacitakan.

Para pemain kadang kala cuba bermain dengan menggunakan fizikal, namun akhirnya tindakan mereka menghukum diri sendiri.

Pesanan dari penulis

Para penyokong masih boleh terima kalah teruk di tangan Thailand kerana sedar dengan kedudukan di mana mereka berada pada ketika ini.

Mereka merupakan pasukan yang boleh dianggap berkelas dunia dan sudah beraksi di pentas Piala Dunia, jadi wajar untuk Malaysia kalah kepada pasukan seperti itu.

Walau bagaimanapun, jika kalah dengan corak permainan seperti apa yang ditunjukkan hari ini, ia jelas sekali satu hal yang sangat mengecewakan.

Perkara asas dalam permainan futsal pun gagal dilakukan dengan sempurna oleh para pemain, dengan mereka terlalu kerap melakukan kesilapan yang tak sepatutnya.

Perancangan pengurus masih tak berubah, walau skuad negara dah jadi ‘lauk’ ketika saingan Piala AFF sebelum ini, namun corak permainan sama juga yang masih dipersembahkan.

Pemain penat bermain, penyokong sakit menonton, tolonglah hargai penyokong yang tak dibayar untuk memberikan segalanya menyokong skuad negara.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN