Bagaimana Kerapuhan Pertahanan Kedah Mudahkan Pasukan Lawan Menjaringkan Gol

Kedah Darul Aman

Sekali lagi pemain hilang punca apabila perlawanan mendekati tempoh 60-70 minit permainan dan ketika itulah pasukan lawan melakukan serangan bertubi-tubi ke kubu Kedah Darul Aman.

Hasilnya, PJ City berjaya melakukan kebangkitan dengan mengikat Sang Kenari di Stadium MBPJ 3-3. Skrip yang sama berulang ketika tunduk kepada Melaka United tempoh hari.

Separuh masa pertama, perlawanan lebih stabil dan seimbang dengan Aidil Sharin mengekalkan sistem formasi 4-2-3-1.

Situasi ini kadang-kala berubah kepada 4-4-2 ketika menyerang dengan Syafiq Ahmad dan Ronald Ngah Wanja berada di bahagian serangan.

Dalam aspek bertahan, kedua-dua bahagian sayap tidak turun berada di garis pertahanan menyaksikan fasa bertahan Kedah kekal hanya mengharapkan keempat-empat pemain pertahanan sahaja. Pemain-pemain kelihatan lebih statik secara keseluruhannya.

Separuh masa pertama, permainan Kedah lebih seimbang. Azamuddin Akil yang diletakkan di bahagian sayap dan memberikan hantaran bola kepada Wanja sebagai menjadi target man.

Ada beberapa situasi Wanja turun ke bawah dan beraksi seakan-akan pemain nombor 9 jadian (false nine).

Bukan salah Fayadh tapi…

Ironinya kemasukan Fayadh Zulkifli menggantikan Azamuddin yang cedera tidak memberi impak yang diharapkan. Sepanjang perlawanan beliau sendiri tenggelam dan kurang menyerlah.

Walau bagaimanapun, aspek pertahanan sekali lagi menjadi isu bagi Kedah.

Bahagian kanan Kedah terlalu mudah dibolosi lawan termasuklah kawalan pemain lawan yang lemah di bahagian pertahanan tengah.

Ada masa Jang Suk-won (ketika separuh masa pertama) melakukan sentuhan tambahan dan kehilangan bola sehingga mengundang risiko pihak lawan melakukan serangan balas pantas.

Kedah Darul Aman
Kedah terlalu kasual sehingga mudah untuk pemain PJ City mencuri bola.

Menjelang minit ke 60-70 perlawanan permainan Kedah mulai kendur. Stamina pemain menurun dan tiada lagi proses membina gerakan untuk menyerang.

Mereka juga dilihat terlalu bertahan dan tidak menguasai bola dengan baik. Pemain-pemain hilang tumpuan di atas padang.

Gambar di bawah menunjukkan bagaimana bola yang sepatutnya dimenangi oleh Kedah tetapi dengan mudah dipintas oleh pemain lawan.

Kedah Darul Aman
Cara yang mudah dilakukan oleh pemain PJ City untuk mencuri bola dari belakang pemain Kedah.

Tambahan lagi, pertukaran Amer Azahar dan Khairu Azrin juga agak lewat dilakukan oleh Aidil sehingga sukar untuk mereka menyesuaikan diri dan seterusnya mengawal rentak perlawanan.

Amirul Azhan pula banyak melakukan kekasaran dan ini amat merugikan pasukan. PJ City mendapatkan gol penyamaan hasil dua situasi bola mati dan kedua-duanya dijaringkan oleh pemain veteran.

Kedah akhirnya menjadi tempat pemain veteran menyerlah bermula dengan hatrik Amri Yahyah, bantuan gol Norshahrul Idlan Talaha dan kali ini Mahali Jasuli dan Khyril Muhymeen masing-masing meledak gol.

Kedah menjadikan ia terlalu mudah untuk pasukan lawan menjaringkan gol.

Masalah yang sama, tiada perubahan

Tiga, empat perlawanan terakhir masalah yang sama muncul buat Kedah.

Masalah dalam kem Kedah masih menjadi tanda tanya, apatah lagi jalan penyelesaian.

Ia tiada jawapan yang jelas mengenai prestasi merudum Kedah yang merunsingkan peminat apatah lagi selepas ini mereka bakal berhadapan dengan pasukan yang lebih kuat terutamanya dalam cabaran Piala AFC.

Nota editor: Analisis ini merupakan nukilan Hafiz Mansor, seorang penyokong Kedah yang jelas kecewa dengan prestasi pasukannya. Jika anda ingin menghantar penulisan anda, hantar artikel minimum 300 patah perkataan dalam format MS Word kepada kami di emel [email protected] .

Leave a Reply