Pemain pertahanan negara, Azam Azmi Murad dikejarkan ke hospital ketika perlawanan di antara Thailand dan Malaysia sedang berlangsung.
Melalui siaran secara langsung yang disiarkan di Astro Arena, pemain berusia 21 tahun itu kelihatan diusung memasuki sebuah ambulan – dipercayai untuk mendapat rawatan susulan.
Sehingga kini belum ada sebarang kemaskini terkini mengenai situasi tersebut, namun Azam dipercayai dikejarkan ke hospital untuk mendapat rawatan susulan.
Pemain itu dikeluarkan pada babak kedua perlawanan selepas pertembungan dengan bek kiri Thailand.
Sementara itu, pertahanan skuad B23 negara Azam Azmi Murad terpaksa dikejarkan ke hospital akibat kecederaan.@ASTROARENA pic.twitter.com/MxCZAzpC9l
— Zulhelmi Zainal Azam (@zulhelmizainal1) May 7, 2022
Insiden pertembungan Azam dengan pemain Thailand itu berlaku pada ketika kedudukan kedua-dua pasukan terikat 1-1.
Azam kemudiannya tidak dapat meneruskan permainan dan beliau digantikan oleh Quenting Cheng.
Pasukan negara memulakan perlawanan dengan agak perlahan apabila ketinggalan jaringan Patrik Gustavsson pada minit ke-33 perlawanan.
Penyerang berjersi No.9 itu bijak menggunakan kekuatan fizikalnya untuk melepasi kawalan dua pemain pertahanan negara sebelum menewaskan penjaga gol, Azri Ghani.
Pasukan Gajah Perang kemudiannya beraksi dengan 10 pemain selepas Jonathan Khemdee dilayangkan merah selepas beliau menjatuhkan Luqman Hakim Shamsuddin ketika pemain itu bersedia untuk situasi satu lawan satu dengan penjaga gol.
Pasukan negara kemudiannya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-61 perlawanan melalui Danial Asri selepas menerima hantaran daripada Mukhairi Ajmal.
Pada ketika artikel ini ditulis, perlawanan sedang memasuki minit ke-85 perlawanan dan kedua-dua pasukan masih terikat 1-1.