Gol minit akhir oleh Ayase Ueda mengecewakan UAE apabila terpaksa menerima hakikat kekalahan 1-0 kepada Jepun di separuh akhir acara bola sepak Sukan Asia.
Pemain gantian, Ueda menyempurnakan peluang yang terhidang selepas Kouta Watanabe berjaya mencuri bola dari Shaheen Al Darmki, sebelum hantaran beliau dilencongkan ke arah gawang oleh Ueda.
Ueda juga merupakan penjaring gol tunggal melalui sepakan penalti ketika Malaysia tewas di pusingan 16 pasukan terbaik kepada skuad Samurai Biru itu.
Perlawanan berbaki 12 minit sahaja lagi pada ketika itu. Tatkala UAE akan berhadapan dengan Vietnam untuk perebutan pingat gangsa, Jepun akan berhadapan dengan Korea Selatan di perlawanan akhir pada Sabtu hadapan.
Jumlah jaringan mungkin tidak setipis ini buat Jepun, jika tidak kerana aksi cemerlang penjaga gol UAE, Mohammad Al Shamsi.
Dua aksi menyelamat menakjubkan dari Al Shamsi dalam perlawanan ini menyaksikan beliau menafikan tandukan terbang oleh Daizan Maeda, sebelum menepis percubaan separa voli dari Yoto Iwasaki.
Al Shamsi juga merupakan hero UAE di peringkat 16 terbaik dan suku akhir apabila membantu pasukannya menewaskan Indonesia dan Korea Utara melalui penentuan sepakan penalti di pusingan tersebut.
Kekalahan ini bagaikan ulangan perlawanan akhir Sukan Asia 2010, apabila UAE turut ditundukkan oleh Jepun 1-0 dalam pertandingan edisi tersebut.
Korea Selatan dan Iran kini berkongsi rekod sebagai pemenang terbanyak bola sepak Sukan Asia sebanyak empat kali, dan Jepun hanya pernah bergelar juara pada edisi 2010.