Kejayaan skuad B-22 tahun negara layak secara merit ke pusingan akhir Piala Asia B-23 disambut dengan penuh rasa syukur terutamanya bagi pemain-pemain yang berjuang bermati-matian di atas padang sejak perlawanan pertama sehingga aksi terakhir peringkat kumpulan menentang Thailand sebentar tadi.
Selepas terikat tanpa jaringan dengan negara jiran itu selain dua kemenangan yang diraih sebelum ini, ia sudah cukup untuk meletakkan skuad kendalian Brad Maloney berkenaan selaku juara kumpulan J dengan mengumpul tujuh mata keseluruhan bagi membolehkan mereka terbang terus ke Uzbekistan pada Jun tahun depan.
Kelayakan AFC B-23: Malaysia Sah ‘Terbang’ Ke Pusingan Akhir, Juarai Saingan Kumpulan J
Namun apa yang menarik perhatian penonton perlawanan itu adalah tindakan beberapa tonggak utama negara yang melakukan ‘sujud syukur’ sebaik sahaja pengadil meniup wisel sebagai isyarat berakhirnya perlawanan.
Keadaan tersebut membuktikan nilai peribadi pemain-pemain muda ini dalam menzahirkan rasa terima kasih kepada Tuhan di atas izinnya untuk memberikan kejayaan mereka mengharumkan nama Malaysia di bumi Mongolia.
Ia bukanlah sesuatu yang asing dalam dunia bola sepak kerana cara keraian itu turut dilakukan oleh beberapa pemain beragama Islam di seluruh dunia termasuklah bintang Liverpool, Mohamed Salah apabila menjaringkan gol untuk pasukannya.
Tahniah buat skuad B-22 Harimau Malaya!