Subkhiddin: “Keputusan Pengadil Dalam 3 Perlawanan Adalah Tepat!”

Dalam satu kolum khas di laman rasmi FAM, Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Subkhiddin Haji Mohd Salleh menyifatkan keputusan pengadil dalam 3 insiden berasingan adalah tepat.

Peminat bola sepak tanah air mempertikaikan intergriti dan kecekapan pengadil dalam 3 insiden yang berbeza.

Pengadil lebih jadi tumpuan

Subkhiddin agak kecewa apabila kemeriahan bola sepak Malaysia ketika ini lebih tertumpu kepada isu kepengadilan.

Beliau juga memberitahu yang pihak mereka sentiasa cuba berusaha memperbaiki isu pengadilan ini dari semasa ke semasa.

Pengadil menjadi tumpuan kerana pemberitaan dan perbincangan lebih tertumpu kepada isu pengadil yang tidak dipersetujui sesetengah pihak berbanding dengan strategi pasukan di dalam padang.

“Isu pengadil lebih menjadi tumpuan berbanding isu kecemerlangan pasukan dalam menyusun strategi untuk menghiburkan penonton dan pada masa yang sama berusaha mencapai kemenangan bersih secara terhormat.”

“Saya terfikir apabila seorang anggota Polis yang sedang bertugas memberikan ‘saman’ kesalahan lalu lintas kepada seorang pemandu yang tidak mematuhi isyarat lampu merah.”

“Pemandu bertegas yang beliau tidak melakukan kesalahan disebabkan beliau masih berhak untuk memandu pada ketika lampu masih merah-kuning-hijau? Siapakah yang perlu dihormati?”

“Apa yang berlaku dalam Liga-M? Saya cuba berikan sedikit pandangan untuk beberapa insiden terpilih seperti yang dipertikaikan.”

“Perlu diingatkan juga bahawa mereka (pengadil) adalah dilatih untuk mendapatkan posisi terbaik melalui keupayaan mereka untuk ‘reading the game’ dan seterusnya ‘anticipation’ yang merangkumi proximity, angle of view (see between player) sebelum memberikan keputusan.”

“Kedudukan pengadil bukanlah statik seperti mana mereka yang lain, mereka sentiasa bergerak sebelum memberikan keputusan seperti yang saya tegaskan dalam perenggan atas.”

Berikut adalah ulasan Subkhiddin untuk 3 insiden yang hangat diperdebatkan.

1. Perlawanan Liga Super, T-Team lwn Kedah (15 April 2017)

“Dalam perlawanan tersebut yang berlangsung malam tadi, rata-rata ‘penganalisis’ menyarankan supaya kedua-dua pemain diberikan kad merah.”

“Adakah saranan ‘penganalisis’ lebih tepat berbanding keputusan pengadil pada perlawanan tersebut?”

“Terdapat dua kesalahan yang berlaku melibatkan kedua-dua pemain pada satu tempoh masa yang sama.”

i. Pemain T-Team diberikan kad kuning atas kesalahan ‘reckless tackle’ (bentesan bahaya).

“(Aksi)Bahaya apabila pemain bertindak tanpa mempertimbangkan bahaya, kesan kepada pemain lawan. Pemain harus diberikan kad amaran.” – halaman 81

ii. Pemain Kedah diberikan kad merah kerana kesalahan berkelakuan ganas, bertindak memukul pemain lawan.

“Kelakuan ganas adalah merujuk kepada tindakan atau cubaan pemain menggunakan kekerasan melampau atau brutal ke atas lawan mereka tanpa cuba mencabar untuk memenangi bola.”

“Ia turut terpakai kepada aksi ganas kepada rakan sendiri, pegawai pasukan, pegawai perlawanan, penonton dan sesiapa sahaja.”

“Sebagai tambahan, pemain yang tidak melakukan cabaran untuk memenangi bola, dengan sengaja menyerang pemain lawan atau sesiapa sahaja di bahagian muka dengan tangan atau siku, dikira berkelakuan ganas kecuali tidak sengaja.” – Halaman 88

iii. Pengadil memulakan semula dengan sepakan percuma terus diberikan kepada Kedah

“Setelah meneliti video, saya dapati kedua-dua pemain berpeluang untuk memainkan bola tetapi sudah tentu dalam corak yang berlainan.”

“Pemain Kedah berpeluang untuk melakukan hantaran (passing) kepada rakan sepasukan secara adil, manakala pemain T-Team pula berusaha untuk menghalang pergerakan pemain Kedah.”

“Malangnya usaha pemain T-Team tersasar dan tindakan ‘rekless’ yang dilakukannya hampir mengenai tepat ke kaki pemain lawan.”

iv. Kad merah untuk pemain T-Team?

“Pengadil sudah tentu perlu melayangkan kad merah jika sekiranya cabaran dengan kaki (kasut bola berstud) mengenai tepat ke bahagian kaki pemain Kedah.”

“Bagaimanapun, pada insiden berkenaan cabaran/tackle yang dilakukan oleh pemain T-Team tidak seperti yang dimaksudkan, ianya sama ada tersasar atau hanya mengenai sebahagian kecil sahaja.”

“Oleh itu, tindakan Pengadil adalah tepat apabila memberikan kad merah kepada pemain Kedah (kesalahan berkelakuan ganas) dan kad kuning kepada pemain T-Team disebabkan kesalahan reckless yang dilakukan sewaktu melakukan cabaran terhadap pemain lawan.”

2. Perlawanan Liga Super, Kelantan lwn Johor Darul Ta’zim (12 April 2017)

Dalam perlawanan ini pula, pengadil telah melayangkan kad merah kepada pemain Kelantan. Ini disebabkan kesalahan menggagalkan peluang gol yang jelas (obvious goal-scoring opportunity).

Foto: Asiana.my

Kesalahan dilakukan ke atas pemain lawan yang menuju ke arah gol lawannya dengan melakukan kesalahan boleh dihukum dengan sepakan percuma.

Subkhiddin menambah:

“Pengadil dalam situasi yang lebih dikenali sebagai DOGSO mengambil kira beberapa pertimbangan seperti berikut:”

– Distance between the offence and the goal (jarak kesalahan dilakukan dengan kawasan gol)

– General direction of the play (arah gerakan permainan secara umum)

– Likelihood of keeping or gaining control of the ball (potensi untuk memenangi semula bola)

– Location and number of defenders  (kedudukan dan jumlah pemain pertahanan)

“Dalam insiden tersebut kesemua 4 pertimbangan seperti yang tersebut di atas adalah mencukupi sepenuhnya untuk pengadil perlawanan melayangkan kad merah.”

“Ianya apabila jelas pemain Kelantan bertindak menarik baju dan menggagalkan pergerakan pemain JDT (kesalahan yang perlu dihukum dengan sepakan percuma).”

Lebih malang lagi jika kesalahan memegang/ menarik/ menolak/ tersebut dilakukan di dalam kawasan penalti yang mana sudah tentu sepakan penalti dan kad merah akan dikuatkuasakan.

3. Perlawanan Liga Super, Perak lwn T-Team (8 April 2017)

Memegang bola (Handball the ball)

Dalam insiden yang berlaku pada saat akhir permainan, pengadil telah memberikan sepakan penalti kepada pasukan Perak.

Sudah tentu ianya sangat sukar diterima oleh mana-mana pasukan apabila mereka telah berada pada situasi selesa untuk meraikan kemenangan.

Pengadil seperti yang dapat dilihat dari awal telah berusaha untuk menempatkan dirinya pada posisi yang terbaik dan pada pendapat saya beliau telah berjaya pada posisi dan masa yang tepat untuk membuat keputusan.

Semasa bola di udara, pemain Perak telah bersedia (ball-dropping zone) untuk mendapatkan kawalan terhadap bola tersebut. Malangnya tangan pemain T-Team telah menyebabkan bola bertukar arah dari jangkaan pemain Perak.

Pengadil menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab

Sukhidin menambah:

“Ada yang mempersoalkan mengenai kredibiliti dan integriti pengadil hanya disebabkan oleh tindakan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab.”

“Pihak ini sering berusaha mempelbagaikan cara untuk mempersenda dan memburukkan pengadil dan juga Presiden FAM, khususnya dengan melakukan provokasi di media sosial berkaitan keputusan yang telah dibuat pengadil dalam sesuatu perlawanan itu.”

“Saya sangat kesal apabila ‘kebijaksanaan’ individu mahupun kumpulan ini digunakan secara salah.”

“Untuk itu, saya menyarankan kepada pihak berkaitan supaya menyiasat individu berkenaan yang kelihatan sangat gembira dengan provokasi yang berjaya dilakukan oleh mereka.”

Kekal berintergriti

“Sekalipun begitu, saya bagi pihak Jabatan Pengadil FAM sentiasa terbuka untuk sebarang siasatan oleh pihak berwajib khususnya SPRM seperti yang telah ditegaskan oleh Tunku Presiden.”

“Untuk makluman, semua pegawai yang terlibat dengan kepengadilan adalah sentiasa di bawah radar pengawasan SPRM semenjak sebelum liga bermula lagi.”

“Setiap pengadil dan pegawai yang terlibat ini juga perlu sentiasa mematuhi protokol ketat sepanjang mereka perlu berkhidmat bersama FAM sama ada sebelum, semasa dan selepas perlawanan.”

Baca juga: 6 Perkara Digariskan Jose Mourinho Selepas Kemenangan Ke Atas Chelsea

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN