Isu mengenai Selangor FA dan juga pihak kerajaan negeri masih lagi tidak menemui jalan penamatnya.
Selepas dinafikan penggunaan Stadium Shah Alam dan juga Padang SUK untuk kegunaan ketika latihan, pihak Selangor FA meneruskan usaha untuk mendapatkan hak mereka mengenai kompleks ibu pejabat dan juga padang latihan di Puncak Alam.
Menurut sumber Goal, presiden Selangor FA iaitu Datuk Seri Subahan Kamal, mereka telah menghantar surat kepada pihak peguam mengenai tuntutan mereka untuk kompleks di Puncak Alam itu.
“Kami telah menghantar surat peguam untuk mendapatkan semula kompleks latihan itu. Hal ini kerana ia sememangnya hak kami Selangor FA.”
Bagi Subahan, pihak kerajaan negeri bertindak dengan tidak matang dalam hal ini dengan menjadikan Selangor FA sebagai mangsa.
“Kerajaan negeri bertindak tidak matang dalam hal ini dan mangsanya adalah kami.”
“Saya kecewa selepas bantuan dana ditarik, fasiliti pula dinafikan.”
Subahan juga berkata kompleks di Puncak Alam itu ketika ini digunakan oleh pihak luar sebagai tempat untuk mereka mengaut keuntungan menerusi program klinik bola sepak.
“Saya ada nampak yang padang di kompleks baharu digunakan oleh pihak persendirian untuk adakan klinik bola sepak untuk kanak-kanak, tak silap saya bekas pemain Selangor sendiri yang buat perkara itu.”
“Mereka mengadakan klinik berbayar dan mengadakan perniagaan disitu. Itu tidak betul.”
“Pelan asal kami adalah untuk mengadakan kerjasama dengan pihak NFDP untuk pembangunan pemain muda. Dengan kerjasama itu, tiada yuran akan dikenakan.”