Pemain tengah berpengaruh Harimau Malaya, Stuart Wilkin kini tampil sebagai antara tonggak yang mencuri tumpuan untuk saingan Piala Asia 2023 yang membabitkan pasukan kebangsaan tidak lama lagi di Qatar.
Tampil dengan prestasi cukup memberansangkan bersama Sabah serta Harimau Malaya di pentas antarabangsa, maka pemain tersebut pastinya akan menjadi pertaruhan penting Kim Pan-gon untuk saingan Piala Asia 2023.
Beraksi buat pertama kali dalam saingan Piala Asia, Wilkin tampil begitu bersemangat untuk menghadapi setiap pasukan lawan dengan memberikan tentangan sengit meski pun ada perbezaan jurang di atas kertas.
Apatah lagi Malaysia juga bakal berdepan cabaran Korea Selatan yang dianggap sebagai pasukan pilihan kerana dibarisi ramai pemain bintang seperti Hee Chang-hwan serta Son Heung-min.
Menyedari lawan mempunyai reputasi cukup tinggi, Wilkin enggan menggunakan alasan tersebut untuk tunduk serta memberi ruang kepada mereka untuk menguasai permainan sewenang-wenangnya.
“Korea Selatan ada pemain terbaik dunia yang bermain di EPL dan itu satu cabaran untuk kami dan kita akan sentiasa bersedia berhadapan dengan mereka.
“Beliau (Pan-gon) selalu menyebut bahawa kami perlu menghormati lawan tetapi jangan terlalu memberi penghormatan kepada mereka.
“Kami juga harus menghormati diri kami sendiri dan tahap permainan kami, jadi kami perlu berjuang bersungguh-sungguh menentang mereka dan jangan beri mereka terlalu banyak ruang untuk melakukan apa yang mereka inginkan,” kata Wilkin menerusi laporan dikeluarkan oleh Harian Metro.
Pada masa sama, pemain berusia 25 tahun itu juga mengakui momentum skuad kebangsaan berada pada tahap menyakinkan selepas mereka berjaya meraih dua kemenangan dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
“Saya fikir momentum itu masih ada. Kita berjaya mencatat dua kemenangan dan sehingga berada di puncak kumpulan (Kumpulan D).
“Ini adalah perlawanan yang kami ingin masuk (Piala Asia) untuk mendapatkan mata. Saya yakin semua pasukan akan memberi cabaran dan kita tidak boleh meremehkan atau terlebih menilai sesiapa pun,” kata pemain itu akhir sekali.
Musim ini menyaksikan Wilkin sudah meledak enam gol bersama dua bantuan jaringan secara keseluruhan untuk aksi Liga Super dan memberi pengaruh cukup besar terutama di posisi serangan Sabah.
Selain Wilkin, Pan-gon turut mempertaruhkan beberapa lagi pemain tengah berpengaruh untuk memperkukuhkan lagi posisi tersebut seperti Paulo Josue, Natxo Insa, dan Afiq Fazail.