Steven Gerrard Pilih Fernando Torres Berbanding Luis Suarez

Steven Gerrard Fernando Torres Liverpool

Lagenda hidup Liverpool yang kini pengurus Rangers, Steven Gerrard telah memilih pemain yang beliau gemar untuk bergandingan sekiranya masih beraksi lagi.

Lebih 17 tahun bersama skuad utama Liverpool, Steven Gerrard telah bergandingan baik bersama ramai pemain termasuklah Luis Suarez dan juga bekas pemain Sabah, El-Hadji Diouf, tetapi beliau telah memilih Fernando Torres dan Michael Owen.

Kedua-dua pemain tersebut menurutnya telah menjadikannya seorang pemain tengah yang terbaik. Micheal Owen adalah rakan beliau sejak daripada akademi, sementara Fernando Torres pula menyertai The Reds pada permulaan musim 2007/08.

Untuk Luis Suarez pula, beliau berpendapat yang faktor utama beliau kurang ‘rapat’ bersama pemain tersebut adalah kerana peranannya yang telah berubah iaitu lebih ke bawah berbanding ketika bersama Michael Owen dan Fernando Torres.

“Saya rasa ianya samaada Michael Owen dan [Fernando] Torres,” ujar Steven Gerrard kepada SkySports dalam sesi temu bual ketika ditanyakan gandingan terbaiknya.

“Saya bermain bersama Michael [Owen] sejak saya muda. Saya sentiasa tahu yang kami memiliki kesefahaman yang baik. Saya tidak perlu melihat untuk membuat hantaran lintang, saya tidak perlu melihat dua kali untuk memastikannya,” ujarnya.

“Saya telah membentuk kombinasi yang sama bersama Torres ketika saya beraksi lebih ke atas sebagai pemain nombor 10,” tambah Steven Gerrard lagi.

“Peranan saya ketika bersama [Luis] Suarez agak berlainan kerana saya lebih ke bawah. Saya rasa Suarez memiliki pemain lain seperti Coutinho dan Daniel Sturridge yang juga mampu mencipta peluang dan beban ke atas saya telah berkurang.

“Saya memilih Michael Owen dan Torres sebagai pemain yang saya rasa telah menjadikan saya seorang pemain nombor 8 yang terbaik,” tambahnya lagi yang merupakan salah seorang pemain ikon pilihan Fernando Torres pada minggu lepas.

Sepanjang kariernya, Steven Gerrard hanya beraksi bersama dua kelab iaitu Liverpool dan kemudian LA Galaxy yang bersaing di Major League Soccer (MLS) sebelum bersara daripada bola sepak pada penghujung musim 2016 pada usia 36 tahun.

KREDIT FEATURED IMAGE: These Football Times

Leave a Reply