Walaupun sudah berpisah, rasa sayang itu masih lagi ada dihatinya.
Bekas pemain Juventus iaitu Stephan Lichtsteiner mengakui beliau mahu melihat kelab lamanya itu menjadi juara Eropah pada musim ini.
Dipetik dari laman Football Italia, beliau yang kini menjadi pemain veteran di Arsenal mengharapkan bekas pasukannya itu mampu mengubat kekecewaan di pentas Eropah yang pernah dihadapi mereka sebelum ini.
“Saya berharap Juventus akan memenangi gelaran UEFA Champions League pada musim ini.”
“Mereka berhak memenanginya selepas 2 kali tewas di perlawanan akhir.”
Juventus tumbang di 2 aksi akhir pentas bola sepak Eropah dengan mereka tewas kepada wakil dari La Liga.
Mereka kalah 3-1 di tangan Barcelona dalam perlawanan yang berlangsung di Berlin.
Juventus turut dimalukan di perlawanan akhir edisi 2017 yang berlangsung di Cardiff, tewas 4-1 di tangan Real Madrid.
Dalam masa yang sama, Lichtsteiner mengakui dirinya tidak menyesali dengan keputusan untuk meninggalkan Juventus dikala kelab tersebut kini dibarisi oleh pemain handalan – Cristiano Ronaldo.
Hal ini kerana menurut beliau yang merupakan pemain kebangsaan Switzerland, keputusan beliau menyertai Arsenal adalah kerana beliau mendambakan cabaran baharu di tempat lain.
“Cristiano Ronaldo? Saya tak menyesal tinggalkan Juventus kerana itu adalah kemahuan diri saya.”
“Saya mahukan cabaran baharu. Sesiapa yang menyertai Juventus pasti akan gembira, tetapi kini semuanya adalah mengenai Arsenal.”