“Mohamadou Sumareh pemain tempatan atau pemain import dalam Liga Malaysia 2019?”
Itulah persoalan yang sering menjadi tanda tanya dalam kalangan peminat bola sepak tempatan selepas pemain sayap Pahang itu mencipta sejarah sebagai pemain naturalisasi pertama yang beraksi dengan skuad Harimau Malaya dalam saingan Piala AFF bulan lepas.
Pengurus skuad Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang mengesahkan surat rayuan sudah dihantar oleh Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) kepada Malaysia Football League (MFL) minggu lalu untuk membenarkan Sumareh terus didaftar sebagai pemain tempatan.
Menurut Suffian, pihaknya akan terus menyenaraikan empat pemain import baharu biarpun status Sumareh selaku pemain tempatan belum disahkan oleh MFL.
“Kita harap MFL membenarkan Sumareh beraksi sebagai pemain tempatan kerana dia juga pemain naturalisasi yang beraksi pada Piala AFF lalu.
“Mengikut perancangan, Pahang akan menyenaraikan dua penyerang import dan masing-masing seorang di posisi tengah dan pertahanan,” katanya dalam Berita Harian.
Pada bulan Oktober tahun lepas, MFL mengumumkan Pahang boleh mendaftar Sumareh sebagai pemain tempatan bermula pada bulan Mac 2019.
Ia bermakna Sumareh tetap dianggap sebagai pemain import pada jendela perpindahan pertama walaupun sudah beraksi dengan skuad kebangsaan dan membantu skuad Tan Cheng Hoe muncul naib juara Piala AFF Disember lepas.
Ia juga bermakna Pahang perlu menunggu jendela perpindahan kedua yang akan dibuka pada bulan Mei 2019 untuk mendaftarkan Sumareh sebagai pemain tempatan.
Berdasarkan sumbangan besarnya membantu Malaysia mara ke final Piala AFF bulan lepas, adalah wajar pihak MFL memberi kelonggaran kepada beliau untuk didaftarkan terus sebagai pemain tempatan tanpa perlu menunggu tempoh pendaftaran yang ditetapkan.