Pelantikan Matt Holland Mampu Ubah Landskap Bola Sepak Perlis

Teka-teki mengenai siapa Pengarah Bola Sepak Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) terjawab apabila Matt Holland diumum memegang jawatan itu, sekaligus mengetepikan khabar angin bahawa ia akan diisi ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe.

Pada masa sama, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan Cheng Hoe kekal sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya sehingga tahun 2020 dengan diberikan tugasan baharu yang lebih mencabar.

“Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) dengan bangganya mengumumkan Matt Holland sebagai Pengarah Bola Sepak Perlis FA yang baharu.

“Bekas pemain akademi Swansea City FC ini mempunyai pengalaman yang luas dalam bola sepak di seluruh dunia dengan kerjaya yang cemerlang di Eropah, Amerika Syarikat, India, Thailand, Australia dan Malaysia,” kata kenyataan daripada laman facebook rasmi Perlis Northern Lions.

Holland yang pernah bermain untuk West Ham United mempunyai lesen kejurulatihan AFC Pro License dan sudah mengenali bola sepak asia sejak tahun 2015 apabila beliau dilantik sebagai penolong jurulatih kelab Liga Thailand, Port FC.

Beliau kemudian berhijrah ke India menyertai Bengaluru FC dengan jawatan yang sama dan membantu kelab itu menjuarai Liga India. Pada ketika itu, Holland berjaya gilap beberapa bakat  baharu pemain India sehingga mewakili pasukan kebangsaan mereka.

Kejayaan itu telah menarik minat kelab gergasi Thailand, Buriram United untuk melantik beliau sebagai Pengurus Pembangunan Bola Sepak dan Pengarah Teknikal. Ketika bersama Buriram, beliau telah menyusun beberapa strategi untuk memastikan kelab tersebut menguasai saingan Liga Thailand.

Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit menjelaskan pengalaman dan kepakaran yang ada pada Holland menjadi antara faktor utama beliau menjadi pilihan PFA.

“Selain itu, pengetahuan luas dan hubungan baiknya bersama kelab lain turut menjadi faktor kami memilih dia. Malah, dia pun sudah biasa dengan Malaysia dan kita rasa dia pilihan paling tepat selepas tiga atau empat calon yang kita senarai pendek.

“Holland akan bantu barisan kejurulatihan dalam apa jua bentuk yang diperlukan tapi dia tidak akan masuk campur dalam hal pengurusan pasukan utama, dia akan fokus kepada pembangunan,” katanya.

Malah, Holland pernah berkhidmat sebagai jurulatih skuad projek Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) pada tahun 2014. Jelas sekali menunjukkan beliau amat berpengalaman dalam aspek pembangunan pemain muda dan tidak mustahil Perlis bakal mempunyai pelan pembangunan akar umbi yang lebih tersusun.

Memandangkan Perlis merupakan negeri terkecil di Malaysia dengan populasi lebih 250,000 penduduk, Holland mungkin akan mengambil inspirasi daripada negara Iceland dan meniru cara mereka memajukan bola sepak dari segi pembangunan jurulatih dan akar umbi.

Leave a Reply