Kem Kuching FA tidak menyangka mampu untuk bertahan sehingga ke tahap ini dengan empat kemenangan berturut-turut sekaligus berjaya mengesahkan slot ke TM Piala Malaysia 2020 selepas menang 2-1 ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT II), semalam.
Selepas tumbang 1-5 di tangan Perak II, Kuching FA jelas tidak memandang ke belakang lagi apabila mempamerkan momentum kemenangan apabila menundukkan Sarawak United [2-1], Kelantan [2-0], Negeri Sembilan [4-2] dan yang terbaharu, JDT II dengan keputusan 2-1.
Bagi penolong jurulatihnya, Ahmad Nurfaizal Patrick Abdullah, sebagai pendatang baharu Liga Premier, pujian harus diberikan kepada semua pemain kerana dapat mempamerkan kebangkitan dalam empat perlawanan tersebut selepas berdepan kekalahan demi kekalahan pada awal musim.
“Saya sangat berbangga kerana pemain-pemain memang bekerja keras daripada segi pertahanan, serangan dan segala aspek untuk menang ke atas JDT II yang kita tahu memang kuat.”
“Sememangnya kami mengimpikan kejayaan ini kerana sebagai pendatang baharu dalam liga, bukan mudah untuk pasukan dan ia satu pencapaian membanggakan di mana semua pemain dan pengurusan memainkan peranan.”
“Misi ke TM Piala Malaysia juga sudah tercapai dan apa-apa pun, perlawanan terakhir liga menentang Kuala Lumpur, kami akan memberikan saingan hebat untuk cuba mendapatkan mata juga,” tambah Ahmad Nurfaizal lagi.
Saingan Piala Malaysia yang akan diadakan secara kalah mati bakal menampilkan 11 pasukan dalam saingan CIMB Liga Super Malaysia manakala lima pasukan Liga Premier [tidak termasuk pasukan pembangunan] akan turut serta bersaing di pentas tersebut.
Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Kuching FA sudah pun mengesahkan tempat ke persaingan tersebut manakala dua lagi slot bakal menjadi rebutan antara Kelantan, Negeri Sembilan, Kelantan United, UKM FC dan Sarawak United.
Kredit featured image: Kuching City FC
Baca artikel lain dari kami mengenai Kuching FA: