Diberikan Lesen Kebangsaan Bersyarat, Melaka & Pahang Masih ‘Dalam Bahaya’

Pahang

Pahang dan Melaka bersama lima lagi pasukan dalam saingan Liga Premier 2020 pada ketika ini masih lagi dalam keadaan bahaya apabila sekadar diberikan lesen kebangsaan bersyarat daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Menurut sumber Berita Harian, lima pasukan Liga Premier 2020 yang dimaksudkan ialah Pulau Pinang, Kelantan, Kuching FA, UKM FC dan Sarawak United.

Lesen itu diberikan selepas pasukan-pasukan tersebut masih belum menghantar dokumen lengkap berkaitan tunggakan dengan agensi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Sehubungan dengan kegagalan mengemukakan dokumen tersebut, First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM yang diketuai Pengerusinya,  Sheikh Mohd Nasir Mohd Sharif telah memberikan tempoh sehingga 31 Oktober ini untuk setiap pasukan melengkapkan segala urusan berkenaan.

Kegagalan untuk melakukan perkara tersebut akan menjurus kepada penyingkiran lima pasukan itu daripada saingan liga serta lesen yang telah diberikan bakal ditarik balik.

Namun begitu, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan bahawa kegagalan Pahang dan Melaka untuk menghantar dokumen yang diperlukan adalah berikutan kelewatan daripada pihak ketiga.

“Pahang tidak memohon lesen AFC (Konfederasi Bolasepak Asia), dan untuk lesen kebangsaan mereka ada masalah mengenai LHDN, PERKESO dan KWSP. Melaka pula memohon lesen AFC tetapi gagal.”

“Namun, dari segi lesen kebangsaan, mereka (Melaka) ada dua kriteria yang masih belum diselesaikan iaitu LHDN dengan KWSP. Bagaimanapun perbincangan peringkat domestik sedang berlaku dengan agensi terbabit.”

“Jika Pahang atau Melaka tidak menyerahkan apa-apa dokumentasi, itu isu tanggungjawab dari pasukan. Tapi daripada bukti yang kami terima, nyata kelewatan dari pihak ketiga dan bukan dari pasukan.”

“Jelas dalam surat menunjukkan pasukan nak selesaikan dan hanya menunggu pihak ketiga. Jadi saya rasa jika persetujuan dengan agensi terbabit dapat dipercepatkan benda ini akan selesai,” ujar Stuart Ramalingam menurut laporan Berita Harian.

Kredit featured image: Melaka United Soccer Association – MUSA

Baca artikel lain dari kami mengenai pasukan Liga Malaysia:

Leave a Reply