Apabila Stadium Tun Abdul Razak siap sekitar pertengahan musim 2015 tahun lepas, saya tahu saya perlu menjadikan stadium yang terletak di Bandar Tun Abdul Razak, Jengka ini sebagai salah satu stadium yang wajib saya lawati.
Bagaimanapun hanya 7 bulan selepas Stadium Tun Abdul Razak menjadi halaman rasmi FELDA United buat kali pertamanya dalam musim 2016, barulah saya mendapat rezeki dan berpeluang melawat stadium ini.
Rezeki ini juga datang pada masa yang tepat.
Saya datang ketika aksi Liga Super sudah mencapai klimaksnya. Perlawanan pada hari itu merupakan perlawanan yang akan menentukan juara Liga Super; FELDA United vs Johor Darul Takzim (JDT).
JDT tiba dalam perlawanan ini sebagai pendahulu liga; 4 mata di depan FELDA United yang berada di tangga ke-2.
Suasana sebelum perlawanan sangat meriah
Bagi sebuah perlawanan liga yang berlangsung pada hari bekerja (Rabu) di sebuah pekan kecil (Jengka), terus-terang saya tak menjangkakan suasana sebelum perlawanan yang meriah.
Inilah penangan perlawanan penentu kejuaraan liga mungkin.
35km dari Jengka lagi saya sudah menjumpai berpuluh-puluh kereta dengan plat pendaftaran huruf ‘J’.
Setibanya di stadium, suasananya umpama hari perlawanan di Stadium Darul Aman dan Larkin (antara stadium yang mempunyai suasana perlawanan yang paling meriah di Malaysia pada pendapat saya). Meriah, penuh dengan penyokong dan bising.
Paling saya suka adalah galeri jualan yang membuka operasi jualannya ketika hari perlawanan. Di sinilah jersi original FELDA United keluaran FBT dijual.
Situasi ini berbeza berbanding sesetengah stadium pasukan Liga Super dan Perdana.
Butik jersi pasukan sendiri pun tiada. Hanya gerai-gerai jersi copy ori yang kelihatan. Saya fikir, inilah akibatnya bila pengurusan pasukan tak diuruskan sebagai sebuah syarikat yang profesional.
Cuma jika ada satu cadangan yang boleh saya beri kepada pihak pengurusan FELDA United untuk menambah lagi kualiti suasana hari perlawanan adalah – membuka galeri sejarah pasukan.
Galeri sejarah pasukan tidak semestinya diisi dengan trofi. Ia juga boleh diisi dengan paparan lembaran sejarah kelab, memorabilia pemain-pemain dan penyokong.
Beza rasa kekitaan penyokong FELDA United dengan JDT
1 jam sebelum sepak mula, saya mula mengambil tempat duduk dalam stadium.
Lebih kurang 20 minit kemudian, lagu Felda United dan This Is Jengka berkumandang. Kemudian pengumuman azan Isyak.
10 minit sebelum perlawanan bermula, pengumum stadium (stadium announcer) mula mengumumkan nama-nama pemain yang akan bermula dalam kesebelasan utama.
Kecuali nama Shukor Adan dan Francis Forkey Doe, nama-nama pemain FELDA United yang lain hanya disambut oleh sorakan yang hambar.
Mungkin penyokong mereka masih belum ada rasa kekitaan (sense of belonging) yang kuat dengan kelab.
Penyokong JDT pula lain.
Setiap nama pemain-pemain mereka disambut dengan sorakan gemuruh. Sehinggakan nama Hadin Azman juga disambut dengan sorakan gemuruh; walaupun ia sorakan yang sarkastik dan ada tone mengejek.
Sense of belonging penyokong JDT kepada kelab mereka sangat kuat sehinggakan mereka menyanyikan sendiri lagu ‘Bangsa Johor’ tanpa iringan muzik. Bendera gergasi Johor kemudiannya dipamerkan. Pemain-pemain berdiri tegak mengadap penyokong. Menakjubkan.
Kupu-kupu malam seri perlawanan
Turut datang ‘menyerikan’ perlawanan malam tersebut adalah sekumpulan kupu-kupu Tropical Swallowtail. Kepaknya besar dan bercorak dengan warna hitam, coklat dan putih.
Kupu-kupu nokturnal ini sering disalah anggap ‘sukakan cahaya’. Sedangkan sebenarnya mereka bergantung harap kepada cahaya untuk menentukan arah perjalanan ketika keluar mencari pasangan (mating).
Biasanya Tropical Swallowtail bergantung harap kepada cahaya bulan.
Cuma apabila ada cahaya dari sumber lain (seperti dari lampu limpah Stadium Tun Abdul Razak yang berkecerahan 1,200 lux misalnya), mereka tidak dapat membezakannya dengan cahaya bulan.
Kehadiran Tropical Swallowtail di stadium yang bagi saya menenangkan ini bagaimanapun tak menggambarkan ‘kegilaan’ 10 minit pertama perlawanan.
Dalam 10 minit pertama ini sudah ada:
- 2 insiden kekasaran melibatkan Forkey Doe (dengan Safiq Rahim dan Marcos Antonio),
- satu sepakan percuma hebat yang singgah di palang,
- 2 situasi kelam-kabut depan gol dan
- 1 goal-line clearance yang dramatik
Sumpah. 45 minit pertama perlawanan ini merupakan 45 minit terbaik pernah saya saksikan selepas separuh masa kedua Tottenham Hotspurs vs Arsenal di White Hart Lane pada 13 November 2004 yang berkesudahan 5-4.
Dalam separuh masa pertama sahaja sudah ada 4 gol dijaringkan.
JDT pula mempunyai 2 percubaan yang diselamatkan (atau tidak diselamatkan bergantung kepada pendapat anda) ketika penjaga gol mereka sudah tertewas.
Maka tak hairanlah selepas tamat separuh masa pertama, Mario Gomez – individu yang sentiasa tenang – melampiaskan amukannya kepada pengadil dan pembantunya. Turut mengamuk kepada pengadil adalah Farizal Marlias dan Amirulhadi Zainal.
Hiburan separuh masa
Kredit perlu diberikan kepada pihak pengurusan FELDA United kerana berusaha keras untuk menaikkan kualiti suasana perlawanan kepada pengunjung stadium.
Antara acara yang dijalankan ketika rehat separuh masa pertama adalah cabutan bertuah (hadiah utama adalah motosikal Honda EX5) dan pertandingan sepak bola dari garisan tengah padang.
Apa yang membuatkan saya terhibur ketika itu adalah nasib seorang remaja perempuan berumur 16 tahun dalam acara sepak bola dari garisan tengah padang.
Berbeza dengan sepakan 4 peserta lain yang tersasar, sepakannya tepat ke arah gol. Tetapi tak cukup kuat. Bola terhenti betul-betul di atas garisan gol!
Apakah kebarangkaliannya untuk melihat 3 gol ‘diselamatkan’ di atas garisan gol pada satu-satu masa?
Kualiti separuh masa kedua turun
Bersambung separuh masa kedua, saya dan 16,640 pengunjung stadium yang lain mengharapkan ‘kegilaan’ separuh masa pertama dapat diteruskan.
Bagaimanapun sebaik sahaja pertahanan tengah FELDA United, Norfazly Alias dibuang padang, ia terus mematikan harapan kami.
Tidak lama selepas insiden itu, Aidil Zafuan menggembirakan kira-kira 6,000 penyokong JDT dengan menjaringkan gol ke-3 JDT.
Perlawanan turut dicemari oleh insiden baling botol air ke pemain di padang yang dilakukan penyokong FELDA dan sorakan ‘keeper FELDA anak anjing’ oleh penyokong JDT.
Suasana perlawanan terbaik
Tamat perlawanan, JDT melebarkan pendahuluan liga kepada 7 mata dengan kemenangan 3-2. Seperti biasa, pemain-pemain JDT meraikannya nyanyian lagu Bangsa Johor dengan penyokong. Kelas.
Malas tergesa-gesa keluar (kerana letih), saya duduk sebentar menikmati udara malam di Jengka.
Sambil memerhatikan kupu-kupu malam, telinga saya dihiburkan pula oleh lagu ‘Cintamu Mekar Di Hati’ dan ‘Ratuku’ dendangan BOYS of Straits dengan paluan gendang dan snares mereka. Ia malam yang sempurna bagi peminat bola sepak seperti saya.
Siapa yang cakap atmosfera bola sepak tempatan dah mati?
Baca juga: Bagaimana Untuk Selesaikan Masalah Kesesakan Jalan Raya Di Sekitar Stadium Shah Alam