Sediakan ucapan selamat tinggal anda kepada Stadium Shah Alam kerana gelanggang ikonik bola sepak negara ini bakal ditamatkan riwayatnya Oktober ini.
Menurut Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, stadium yang pernah menjadi gelanggang Selangor itu akan diruntuhkan bagi memberi laluan pembangunan projek Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang bakal dimulakan selepas itu.
Memetik laporan Astro Awani, Amirudin menyedari proses untuk merobohkannya sedikit lewat daripada jadual, namun begitu beliau masih lagi yakin untuk menyaksikan KSSA siap pada 2026.
Untuk rekod, Stadium Shah Alam dijadualkan untuk dirobohkan pada Jun ini namun oleh kerana terdapat kekangan ia terpaksa ditangguhkan sehingga Oktober.
“Kita terpaksa ambil masa, sepatutnya bulan ini untuk mula perobohan tetapi kita hendak bincang supaya dapat harga yang lebih baik dengan syarikat yang akan membina kawasan ini.
“Perobohan bukan bulan Jun, perobohan memerlukan kebenaran merancang sebab ini adalah struktur besar. Kalau hendak roboh bukan mudah sebab segala proses perlu dilihat. Perobohan dijangka September atau Oktober nanti,” kata Amirudin.
Dalam masa yang sama, Amirudin mengatakan yang peluang untuk menyaksikan KSSA disiapkan sepenuhnya pada 2026 adalah cerah dengan seawal suku pertama tahun tersebut.
Akan tetapi, jika terdapat kelewatan maka suku ketiga tahun 2026 akan menjadi waktu di mana Selangor akan bermain di gelanggang baharu dan memulakan era seterusnya dalam sejarah bola sepak Gergasi Merah.