Apakah makna paranormal? Pusat Rujukan Persuratan Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mendefinisikan paranormal sebagai satu aktiviti atau fenomena yang tidak dapat dijelaskan secara saintifik.
Paranormal turut merujuk kepada kejadian yang tidak rasional.
Kisah mistik dan paranormal bukan sahaja sering menarik perhatian rakyat Malaysia yang majmuk; kaya dengan pelbagai adat dan kepercayaan.
Malah ia turut menarik perhatian pelbagai lapisan masyarakat dunia yang sifatnya lebih universal. Artikel pada malam ini sedikit istimewa.
Malam ini kami tampilkan kisah mistik dan paranormal di dalam bola sepak. Sebagai permulaan, kami bawakan kepada anda 5 buah stadium bola sepak yang dipercayai pernah mengalami aktiviti paranormal dan mistik.
1. Stadium of Light, Sunderland
Sunderland A.F.C adalah sebuah kelab bola sepak Inggeris yang mempunyai sejarah sejak 138 tahun yang lalu. Ditubuhkan pada 1879, Sunderland merupakan salah sebuah kelab bola sepak yang bertanding secara kompetitif di Liga Inggeris.
Musim lalu Sunderland adalah salah sebuah kelab yang beraksi di Liga Perdana Inggeris (EPL). Namun selepas hanya 6 kemenangan dan 6 seri dari keseluruhan 38 perlawanan pada musim 2016/17, kelab yang digelar ‘The Black Cats’ ini terpaksa bersaing di Liga Championship pada musim ini.
Tetapi tahukah anda bahawa Stadium of Light, kandang kepada “The Black Cats’ ini menyimpan pelbagai kisah misteri?
Pada 2005, 2 orang kakitangan kelab mendakwa mereka pernah ternampak satu lembaga yang tidak dikenali di salah satu koridor di stadium berkenaan.
Keadaan agak malap pada malam itu, dan ramai mengatakan dakwaan tersebut sebagai karut. Ada yang mendakwa penglihatan lembaga tersebut terhasil daripada kelibat orang lain, namun tidak ada individu yang pernah mengaku bertanggungjawab.
Tidak lama selepas itu salah seorang pemain, Stephen Elliot turut mendakwa telah terserempak dengan lembaga yang sama di koridor yang sama. Maka kisah itu mulai tersebar di kalangan penyokong dan komuniti di Sunderland.
Tidak ada siapa pun yang boleh mengesahkan kenapa entiti tersebut berkeliaran. Ada yang mendakwa entiti tersebut adalah seorang pekerja dari kurun ke-18. Ia kekal misteri.
Tetapi apakah perkara lain yang lebih menyeramkan telah berlaku? Pada September 2016, ketika Sky Sports sedang bersiaran dalam rancangan Monday Night Football berlatarbelakangkan stadium berkenaan, seorang kakitangan stadium dilihat ghaib begitu sahaja.
2. Stadium Highbury, Lancashire
Stadium Highbury, London adalah gelanggang utama kepada kelab bola sepak Arsenal satu masa dahulu. Stadium tersebut dirasmikan pada 1939 selepas 3 musim yang menakjubkan dalam sejarah kelab berkenaan.
Sebelum itu, Arsenal pernah memiliki seorang pengurus hebat yang dikenali sebagai Herbert Chapman. Chapman dikenali dengan cara pemikiran dan kepintarannya dalam merangka kejayaan pasukan bola sepak Arsenal.
Malah Chapman adalah individu yang merevolusikan Arsenal sebagai sebuah kelab yang paling berjaya dalam bola sepak Inggeris pada lewat 1920an sehingga awal 1930an.
Amat menyedihkan, Eric Chapman meninggal dunia pada usia 55 tahun akibat daripada penyakit Pneumonia. Kematiannya adalah pada ketika Arsenal sedang menikmati antara zaman paling gemilang dalam sejarah bola sepak kelab London itu.
Walaupun ketika sakit, Chapman sentiasa bersemangat menghadiri perlawanan membabitkan Arsenal. Pada Januari 1934, beliau memaksa dirinya menghadiri 3 perlawanan pada satu minggu pada ketika Eropah sedang dilanda musim sejuk. Ini sedikit sebanyak telah menjejaskan kesihatan Chapman sehingga mengakibatkan kematiannya.
Kisah ini berlaku sehinggalah Arsenal berpindah daripada Highbury untuk ke Emirates pada 2006. Pada lewat malam, ada yang mengatakan akan kedengaran roh Chapman berkeliaran bersama satu penampakkan seekor kuda di satu ruang legar yang ada di Highbury.
3. Stadium St. Mary, Southampton
Masih lagi di England. Kelab bola sepak Southampton berpindah ke St. Mary pada 2001. Ia adalah sebuah stadium yang dibina dengan bajet serendah £32 juta dengan kapastiti 32,500 penonton.
Selama 103 tahun sebelum ini, Southampton beraksi di Stadium The Dell yang berkapasiti 15,000 penonton.
Satu perkara yang mungkin penduduk dari luar Southampton tidak ketahui ialah St.Mary dibina di atas tapak sebuah perkuburan lama Kristian. Malah kubur berkenaan tidak dipindahkan ketika pembinaan, bermakna St.Mary pada hari ini secara teorinya adalah sebuah perkuburan lama.
Selepas pembinaan stadium berkenaan siap, roh-roh yang mendiami perkuburan berkenaan dikatakan berkeliaran di perkarangan stadium.
Pada musim pertama beraksi di St. Mary, Southampton turut mengalami prestasi buruk dengan mengumpul hanya 10 mata daripada 14 perlawanan pertama musim tersebut. Ini menyebabkan pengurus Stuart Gray dipecat, hanya selepas 6 bulan dilantik ke jawatan tersebut.
Khabar angin mengatakan prestasi buruk Southampton turut berkait dengan roh-roh berkenaan yang mahu membalas dendam. Kepercayaan tersebut sangat kuat sehingga pihak pengurusan Southampton mengupah seorang bomoh untuk menghalau roh-roh berkenaan daripada St.Mary.
4. Estadio do Dragão, Porto
Adakah anda menyaksikan perlawanan UEFA Champions League di antara Porto dan Paris Saint-Germain (PSG) pada satu awal pagi pada 2012? Atau adakah anda tidak menyedari apa yang anda saksikan?
Pada musim 2012-13, Porto menewaskan PSG dalam satu perlawanan peringkat kumpulan UEFA Champions League, melalui jaringan minit akhir penyerang antarabangsa Colombia, James Rodriguez.
Selepas menjaringkan gol tersebut, James berlari ke arah sebahagian daripada penyokong Porto di Estádio Do Dragão. Jika anda menonton perlawanan tersebut pada jam 3 pagi secara siaran langsung, anda pasti akan tercengang.
Selain daripada James Rodriguez dan penyokong-penyokong Porto, turut kelihatan ialah satu kelibat lelaki berpakaian era 1900an, turut bersama kumpulan penyokong Porto di bahagian tempat duduk.
Bezanya, kelibat lelaki tersebut berdiam diri dan tidak meraikan gol tersebut dengan penyokong Porto yang lain. Rakaman video dan gambar kelibat berkenaan pantas tular di Portugal, dan ramai mengandaikan kelibat tersebut sebagai ‘Hantu Estádio Do Dragão’.
Walaupun terdapat media di Portugal cuba menjelaskan bahawa kelibat tersebut adalah seorang lelaki warga tua yang turut menghadiri perlawanan tersebut, penyokong Porto lebih gemar menganggap entiti misteri berkenaan merupakan sebahagian daripada penyokong Porto dari alam lain.
5. Stadium Ghazi, Kabul
Stadium Ghazi di Kabul dibina oleh Raja Amanullah Khan pada 1923. Ia adalah sebuah stadium pelbagai guna dan merupakan gelanggang utama pasukan kebangsaan Afghanistan.
Jika anda berkunjung ke sana pada hari ini, rumputnya kelihatan subur menghijau. Tetapi satu masa dahulu, gelanggang bola sepak ini pernah menjadi tempat berdarah, ketika era pemerintahan Taliban.
Setiap mangsa yang dihukum untuk apa jenis kesalahan akan diarahkan untuk berlutut, sebelum senapang diacukan dan mangsa ditembak mati.
Seorang wartawan dari Afghanistan ketika ditemubual oleh Reuters berkata:
“Ada seorang penentang telah ditangkap di sebuah kampung dan dibawa ke sini. Mereka bertindak memotong lengannya. Saya turut pernah menyaksikan ramai mangsa ditembak dan dikelar leher mereka di sini.”
“Rakyat Afghan tidak akan melupakan memori buruk ini. Ramai di kalangan yang terbunuh adalah dari kalangan mereka yang tidak bersalah.”
Mayat-mayat mangsa kemudiannya digantung pada tiang gol untuk dilihat dan kaedah psikologi menakutkan penduduk tempatan. Sejak daripada itu, Stadium Ghazi dikatakan berhantu dan didiami oleh roh-roh mangsa yang tidak tenang.
Pekerja dan penjaga stadium dilaporkan sering diganggu oleh entiti tidak dikenali.
Walaupun telah dibaikpulih pada 2011, bayangan silam tersebut masih hilang dari Stadium Ghazi. Malah tidak ada sesiapa pun di kalangan penduduk Khabul yang berani menghampiri persekitaran stadium pada waktu senja kerana diselubungi oleh perasaan takut.
Rumusan
Benar atau tidak aktiviti paranormal di stadium-stadium berkenaan, terpulang kepada anda untuk menilainya. Ia mungkin cerita karut. Ia juga mungkin benar-benar pernah terjadi.
Anda mempunyai pengalaman lain di stadium bola sepak di dalam negara dan luar negara? Kongsikan bersama kami. Kami mahu mendengarnya daripada anda.